Media Vietnam menggesa agar pemain bintang pasukan negara itu, Nguyen Quang Hai terus beraksi bersama Pau FC dan tidak mengambil bahagian dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang akan berlangsung pada hujung tahun ini.

Quang Hai baru-baru ini mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama Vietnam yang menjaringkan gol dalam saingan liga divisyen 2 Perancis, Ligue 2.

Sebagai usaha untuk memastikan Quang Hai terus diberikan peluang untuk beraksi bersama skuad utama, beberapa media negara itu mahu pemain berusia 24 tahun ini agar tidak beraksi di saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 untuk memberi sepenuh fokus bersama Pau.

Tambah media terbabit, jika Quang Hai beraksi di Piala AFF, perkara ini akan menganggu momentumnya bersama Pau yang ketika ini dalam usaha untuk menjauhkan diri daripada zon penyingkiran.

Selain itu, yang menjadi persoalan adakah pengurus Pau, Didier Tholot mampu untuk bersabar sekiranya kehilangan Quang Hai tatkala pemain itu perlahan-lahan sudah memahami corak permainan pasukan.

Nguyen Quang Hai menjaringkan gol pertama dalam saingan Ligue 2 pada aksi menentang Rodez AF dimana beliau diturunkan pada minit ke 78 bagi menggantikan penyerang utama, Pape Ibnou Ba ketika pasukan itu ketinggalan 1-2 hasil jaringan Andy Pembele (min 50) dan Nasim Ouammou (min 67).

Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Quang Hai yang muncul sebagai hero apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 86 sekaligus menyelamatkan Pau FC daripada mengalami kekalahan di tempat sendiri.

Jaringan tersebut turut menjadi bualan dalam kalangan media Perancis dan memberi gelaran ‘Messi Vietnam’ kepada Quang Hai

https://twitter.com/metaverzsport/status/1578903658984792064?s=46&t=7lZ2Ni5Eg8TMUJNeMgD6Sw

Pau FC ketika ini menghuni di tangga ke 16 daripada 20 pasukan dengan 11 mata selepas mengharungi 11 perlawanan Ligue 2.

Sebelum ini, ketua jurulatih Pau FC, Didier Tholot tidak mahu Quang Hai berasa tertekan dan pemain itu perlu lebih bersabar dalam usaha untuk mendapat minit permainan kerana beliau perlu bersaing dengan pemain lain.

“Tidak realistik untuk mengharapkan Quang Hai mempamerkan prestasi hebat dan mencapai kecemerlangan pada tahun pertamanya di Pau.

“Dia baru sahaja menyertai kelab ini dan perlu belajar banyak perkara baharu. Quang Hai juga memerlukan masa untuk menyesuaikan diri memandangkan dia berada di sini,” katanya.