Khabar angin mengenai perpindahan bintang Indonesia, Febri Hariyadi ke kelab gergasi Thailand, Muangthong United sedang hangat diperkatakan dalam kalangan peminat bola sepak di Asia Tenggara.

Malah, disebalik perpindahan itu, ada gelaran terbaharu yang diberikan oleh para media Thailand kepada pemain yang berusia 24 tahun itu untuk mengambarkan perpindahan yang termahal. SMM Sports melabelkan Febri Hariyadi sebagai Neymar Indonesia.

“Begitu cepat! Persib Bandung tidak membiarkan Neymar Indonesia pergi ke Muangthong,” tulis SMM Sport dalam bahasa Thailand.

Febri Hariyadi

Dalam artikel tersebut, mereka selalu memuji pemain itu yang memiliki kepantasan beraksi di posisi sayap dan mampu memberi masalah kepada pemain lawan setiap kali kali beraksi bersama Persib Bandung dan skuad kebangsaan Indonesia.

Mengulas mengenai khabar angin perpindahan itu, Febri menafikan telah mendapat tawaran rasmi untuk menyertai kelab Thailand itu melalui satu komen di laman instagramnya.

“Hanya ingin menjelaskan berita yang saya akan menyertai kelab Thailand itu tidak benar.

“Sampai sekarang pun saya belum terima tawaran tersebut dari pihak pengurusan ataupun kelab itu. Terima kasih, tetap sihat dan jangan lupa selalu bersukan,” jelas Febri.

Pegawai Persib Bandung, Teddy Tjahjono turut mengesahkan mereka setakat ini belum menerima permohonan rasmi daripada Muangthong United untuk mendapatkan khidmat tonggak utama pasukan itu.

Teddy menyifatkan ia hanya khabar angin yang dimainkan oleh media thailand untuk menghangatkan suasana bola sepak mereka.

“Khabar angin tersebut tidak benar. Kami tidak menerima surat atau maklumat apa pun mengenai hal ini,” kata Teddy.

Muangthong baru-baru ini telah menjual dua tonggak utama ke kelab BG Pathum United dan Port FC. Mereka juga masih memiliki satu lagi slot pemain import Asia Tenggara untuk diisi selain Daisuke Sato (Filipina) dan Dang Van Lam (Vietnam).

Jika Febri disahkan menyertai Muangthong United, Indonesia akan memiliki dua pemain yang beraksi dalam Liga Thailand selepas Yanto Basna yang bermain untuk PT Prachuap FC.

Pemain yang berusia 24 tahun itu pernah dikaitkan dengan pasukan Liga Super iaitu Pahang bagi menggantikan tempat Saddil Ramdani pada awal musim ini, namun perpindahan itu tidak menjadi kenyataan.

Lihat artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Media Thailand Ini Labelkan Skuad Kebangsaan Malaysia Sebagai ‘Johor National Team’

Yaya Toure Bakal Beraksi Di Liga Malaysia?

Pemain Kembar Dari Jepun Ini Intai Peluang Sarung Jersi Indonesia