Pasukan Selangor semakin hampir untuk mendapatkan penyerang import baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2023 dimana penyerang dari Colombia iaitu Ayron Del Valle dikaitkan dengan pasukan itu.

Perkara ini dikongsikan oleh salah sebuah media sukan dari negara itu iaitu Primer Tiempo dimana penyerang berusia 33 tahun ini bakal menyertai Selangor selepas menolak kontrak lanjutan dari kelab setempat iaitu Once Caldas.

“Penyerang dari Cartagena, Ayron Del Valle telah bersetuju untuk menyertai pasukan Selangor yang bersaing di divisyen satu Liga Malaysia, selepas memilih untuk tidak melanjutkan kontraknya dengan Once Caldas. Pemain berusia 33 tahun itu berada dalam pemerhatian beberapa pasukan bola sepak profesional Colombia namun lebih memilih menyertai Selangor,” dipetik dari laporan media tersebut.

Namun, ada satu perkara yang menarik perhatian dimana menerusi laman media sosial rasmi Twitter mereka, Primer menganggap Ayron bakal menyertai sebuah pasukan dari liga kecil yang kurang dikenali.

Ayron merupakan penyerang yang pernah muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Colombia sebanyak dua kali ketika beraksi bersama Milonarios pada musim 2016 dan 2017. Musim lalu bersama Once Caldas, Ayron menjaringkan 12 gol dan menyumbang 2 assist sepanjang musim dalam 26 perlawanan yang beliau hadapi.

Setakat ini, Selangor telah menandatangani dua pemain import iaitu Rauf Salisu di bahagian serangan dan Noor Al-Rawabdeh yang bakal mengisi bahagian tengah. Dari skuad musim lalu, skuad Gergasi Merah mengekalkan beberapa pemain seperti Heing Htet Aung, Yazan Al-Arab, Alex Agyarkwa dan Richmond Ankrah.

Dari segi pemain tempatan pula, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu sudah membawa masuk tiga pemain pasukan kebangsaan iaitu Faisal Hali, Khuzaimie Piee dan R.Ruventhiran bagi memantapkan pasukan sedia ada.