Stadium Perak bakal berwajah baharu apabila Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menghantar surat kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memohon peruntukan naik taraf padang dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia.

Perkembangan itu disahkan oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin menerusi laporan dalam Bernama. 

Beliau berkata stadium itu ketika ini menggunakan rumput jenis cow grass dan sudah berusia 26 tahun iaitu sejak 1997.

“Kita dah hantar surat, dua hari sudah, surat itu daripada MBI kepada Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh), harap-harap lulus. Kalau boleh kita nak ganti dulu, lepas itu penyelenggaraan kita akan buatlah,” katanya.

Rumaizi berkata MBI juga akan melobi supaya perlawanan antarabangsa diadakan di Stadium Perak pada masa depan jika permohonan itu berjaya.

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh sebelum ini menawarkan rumput jenis Zeon Zoysia untuk digunakan di stadium di setiap negeri dan perkara ini akan diusulkan kepada exco sukan setiap negeri yang berminat.

Penanaman rumput jenis Zeon Zoysia adalah hasil cadangan daripada pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang mahu melihat setiap stadium di Malaysia memiliki padang berkualiti untuk sukan bola sepak.

Penggunaan rumput lembu atau jenis ‘Cowgrass’ tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut sekaligus menyebabkan bola melantun setiap kali melakukan hantaran.

Dalam satu laporan, Hannah Yeoh menegaskan pihaknya menawarkan geran padanan dengan kos penanaman rumput zeon zoysia ditanggung oleh KBS manakala kos penyelenggaraan ditanggung kerajaan negeri.

“Saya ada memberikan cadangan penawaran geran padanan dan menawarkan untuk memilih satu stadium bola sepak yang mereka mahu naik taraf padang dengan rumput Zeon Zoysia.

“Naik taraf padang dilakukan oleh pihak KBS dengan pemberian kos penanaman rumput tetapi penyelenggaraan padang setiap bulan perlulah ditanggung oleh kerajaan negeri,” katanya.

Selain Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) juga dalam proses untuk penukaran rumput kepada jenis Zeon Zoysia yang dijangka siap pada bulan Oktober ini.

Antara kelebihan menggunakan rumput Zeon Zoysia ini ialah Malaysia berpeluang menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak antarabangsa yang dianjurkan oleh AFC seperti Piala Asia.