Bintang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe mengakui dia tidak mungkin akan menyertai Tottenham Hotspur untuk seumur hidupnya.

Sebelum ini, pelakon Spiderman, Tom Holland secara berseloroh memberitahu Mbappe untuk menyertai Spurs, yang merupakan kelab disokong Holland.

Namun ketika itu, Mbappe menegaskan bahawa, itu adalah mustahil.

Dan terbaru, Mbappe ditanya sekali lagi tentang potensi dia akan ke Tottenham Hotspur pada masa akan datang.

Sekali lagi Mbappe mengakui dia tidak melihat dirinya bermain untuk Spurs.

“Saya tidak fikir saya akan bermain untuk Tottenham dalam hidup saya,” kata pemain berusia 23 tahun itu kepada CNN.

“[Holland] bertanya kepada saya mengenainya, tetapi tidak, tidak. Ia adalah kelab yang hebat… Dan saya pasti mereka akan melakukan sesuatu yang baik musim ini dengan [Antonio] Conte. Dia seorang pengurus yang hebat.”

Mbappe bersama dengan Messi akan mengetuai serangan PSG dalam aksi pusingan 16 akhir UCL berdepan dengan Real Madrid.

PSG kendalian Mbappe akan berdepan gergasi Sepanyol, Real Madrid dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara UEFA.

Dan pemain antarabangsa Perancis itu enggan terlalu memikirkan soal potensi perpindahannya ke ke Los Blancos walaupun kontraknya di kelab yang berpangkalan di Paris itu hanya tinggal kurang tujuh bulan dalam.

Mbappe malah bertekad menyingkirkan Real Madrid dan mahu memenangi UCL. Mbappe memberikan komitmen untuk terus kekal di PSG sepanjang musim ini. Menolak sebarang kemungkinan akan berpindah pada Januari akan datang.

“Saya fikir ia bukan masa yang sesuai untuk saya bercakap [tentang Real Madrid] pada masa ini,” tambah beliau lagi.

“Kami memasuki bahagian paling penting musim ini dan kami akan bermain dengan Real Madrid.”

“Jadi, satu-satunya perkara yang saya fikirkan ialah menewaskan Real Madrid pada Februari dan Mac. Saya bersedia memberikan segalanya untuk PSG.

“Saya sangat gembira [beraksi bersama PSG], saya akan menamatkan musim [di sana], 100%.”

“Saya akan memberikan segala yang saya ada untuk memenangi Liga Juara-Juara, liga, piala – kerana pemain dan peminat berhak mendapatnya dan saya fikir saya layak memenangi sesuatu yang hebat bersama PSG.”