Kylian Mbappe beberapa kali tidak berpuas hati dengan Neymar kerana isu disiplin. Dan ianya dikatakan menjadi salah satu sebab kenapa PSG mahu menjual pemain Brazil itu.

Kylian Mbappe telah menggesa Paris Saint-Germain untuk menjual Neymar, menurut laporan. Mbappe baru-baru ini menandatangani kontrak baharu yang menjadikannya pemain bola sepak dunia dengan gaji tertinggi di Eropah.

Perjanjian itu juga dilaporkan memberikannya kuasa besar untuk memberikan pendapatnya mengenai hal-hal bola sepak di PSG, dan penyerang Perancis itu turut terbuka untuk melihat rakan sepasukannya yang terkenal itu keluar dari kelab pada musim panas ini.

Menurut wartawan bola sepak Sepanyol Diego Torres, menulis untuk El Pais, Mbappe telah meminta PSG untuk menjual pemain Brazil itu pada musim panas ini. Kerana Neymar dilihat tidak begitu bersungguh sungguh dalam projek PSG.

Penyerang itu juga dikatakan telah memberitahu pemilik PSG bahawa dia merasakan Neymar terlalu ‘tidak berdisiplin’ untuk menyesuaikan diri dengan sistem taktikal, dan dia menimbulkan kebimbangan mengenai ‘rutin pemulihan’ pemain itu selepas cedera. Neymar seringkali tidak serius dalam pemulihan kecederaan.

Pemilik PSG dari Qatar dikatakan telah menerima pendapat Mbappe. Nasser Al Khelaifi sudah sedia menjual Neymar selepas menjadikan Neymar sebagai pemain bola sepak termahal dunia pada 2017 apabila mereka menandatanganinya dari Barcelona dengan harga €222m.

Menurut Torres, Khelaifi memaklumkan bapa Neymar, yang bertindak sebagai ejennya, bahawa mereka mahu ‘mencari jalan keluar’ untuk pemain itu musim panas ini.

Neymar Sr bagaimanapun dilaporkan memaklumkan kepada bos PSG bahawa anaknya tidak akan pergi melainkan baki kontraknya dibayar sepenuhnya.

Pemain berusia 30 tahun itu di bawah kontrak sehingga 2027 dan memperoleh pendapatan bersih €40 juta setahun.

Bekas penyerang Barcelona itu dikatakan berasa ‘dimalukan’ oleh PSG, dan dia akan bersedia untuk meninggalkan musim panas ini. Neymar akan terbuka untuk kembali ke Barcelona.

Mbappe dikatakan telah memberi amaran kepada pemilik kelab bahawa ‘tiada pemain yang sepatutnya berada di atas lencana kelab’ – walaupun hakikatnya Mbappe nampaknya mempunyai tahap pengaruh yang jauh melebihi mana-mana rakan sepasukannya.

Mbappe memiliki kuasa ala pemilik dalam projek baharu PSG. Dia telah menyebabkan pengarah sukan Leonardo dipecat. Dan turut memberikan pandangan tentang masa depan jurulatih Mauricio Pochettino.

Penyerang yang memenangi Piala Dunia itu juga dilaporkan ‘menuntut perubahan’ terhadap cara PSG beroperasi. Al Khelaifi setuju bahawa PSG selama ini telah diambil kesempatan oleh beberapa pemain dan beberapa pihak ejen.

Nasser Al Khelaifi melantik Luis Campos menggantikan Leonardo untuk mengubah cara mereka bekerja. Luis Campos merasakan bahawa PSG perlu mengeluarkan Neymar atas sebab ekonomi, taktikal dan juga faktor usianya.

Seterusnya, PSG sudah menukar teras projek mereka daripada Neymar kepada Mbappe. Itu juga menjadi salah satu sebabnya.

Luis Campos, yang bekerja dengan Mbappe di AS Monaco, telah menyertai PSG dalam peranan pengarah sukan. Sementara Christophe Galtier nampaknya akan meninggalkan Nice untuk menggantikan Pochettino. Galtier sudah menyatakan bahawa dia tidak perlukan Neymar dalam pasukannya kerana sudah ada Messi dan Mbappe.