Ianya tidak lama untuk melihat kontroversi dalam kem Perancis, sebaik sahaja FFF mengumumkan kontrak baharu Didier Deschamps, pemain bintang mereka, Kylian Mbappe terus tak sehaluan dengan Noel Le Graet yang merupakan Presiden FFF (FA Perancis).

Kritikan pedas Mbappe kepada presiden FFF itu muncul selepas kenyataan media Le Graet yang dianggap mengaibkan Zinedine Zidane yang dianggap Mbappe sebagai ‘Perancis itu sendiri’. Merujuk kepada sumbangan Zidane kepada bola sepak Perancis.

Memberikan Piala Dunia pertama untuk negaranya dengan aksi berkelas dunia pada tahun 1998 terutama sekali pada aksi final menentang Brazil.

Sebelum ini L’Equipe pernah melaporkan bahawa Zidane akan tetap dilantik menjadi pengurus Perancis pada tahun 2023, walaupun Deschamps membantu Perancis menjuarai Piala Dunia kali kedua berturut-turut sekalipun.

Janji yang sama diberikan kepada Zidane. Di mana Le Graet dilaporkan mahu Zidane menjadi pengurus Perancis selepas tamat Euro 2020 yang ketika itu dianjurkan pada 2021.

Fabrizio Romano sendiri beberapa kali melaporkan bahawa Zidane menolak banyak tawaran kelab termasuk daripada PSG, Manchester United dan juga Spurs sebelum ini. Semuanya kerana keutamaan Zidane adalah menjadi pengurus Perancis.

Zidane turut menolak beberapa tawaran daripada pasukan kebangsaan. Ini termasuk menolak tawaran lumayan dari Qatar. Dan terbaru dia turut dikaitkan dengan jawatan menjadi pengurus Brazi.

Le Graet telah dikaitkan dengan laporan bahawa dia menabur janji untuk melantik Zidane. Yang dianggap langkah penting untuk menguatkan kedudukannya sebagai presiden FFF.

Walaupun Deschamps membantu Perancis menjuarai Piala Dunia 2018 sebagai pengurus, dan pernah melakukannya ketika bergelar pemain, namun pengurus itu kerap menuai kritikan kerana taktikalnya dianggap tidak cukup bagus.

Malah ada yang menganggap Deschamps cuma bernasib baik kerana Perancis memiliki gedung bakat sangat luas.

FFF menerusi presidennya, Noel Graet kemudian menyatakan bahawa, keutamaan mereka adalah kontrak lanjutan Deschamps. Dan mereka tidak pernah terfikir menggantikan Deschamps dengan Zidane.

Le Graet menyatakan perkara itu kepada media pada majlis pengumuman kontrak baharu Deschamps. Le Graet malah menyindir pihak yang menjadi penyokong Zidane sebagai mereka yang sentiasa mahu melihat kejatuhan Deschamps.

“Zinedine Zidane sentiasa berada di dalam radar kami, tak perlu nak panjangkan lagi cerita ini. Zidane ada ramai penyokong, dan ada antara mereka menunggu Deschamps untuk pergi.”

“Tetapi siapa yang boleh mengkritik Deschamps setelah apa yang dia lakukan? Tiada!”

“Kamu [penyokong Perancis] pernah terlepas beberapa perlawanan pasukan kebangsaan, tapi saya sudah bersama dia selama 10 tahun.”

“Dalam tempoh itu tidak ada banyak masalah yang timbul daripada pengurusan beliau.”

“Laporan tentang dia akan melepaskan jawatan, hanyalah mainan media menarik klik daripada pembaca. Dia [Deschamps] cuma menganggap benda ini satu khabar angin bahawa bekas pengurus Real Madrid itu akan menjadi pengurus baharu Perancis.”

Paling mengejutkan adalah kenyataan Le Graet yang mendedahkan bahawa dia tak akan mengangkat panggilan telefon daripada Zidane sekalipun jika pengurus itu mahu membincangkan soal menjadi pengurus pasukan kebangsaan Perancis.

Ianya satu kenyataan sinis contoh laporan media di Perancis yang menyatakan bahawa Ke Graet sudah berapa kali menghubungi Zinedine Zidane dan berjanji mahu mengangkat dia menjadi pengurus baharu Perancis.

“Jika Zidane call saya sekalipun, saya tak akan angkat panggilan itu. Dah tentu tak akan saya angkat.”

“Untuk apa? Nak beritahu dia supaya pergi cari kelab baharu untuk diuruskan? Atau wujudkan satu program khas untuk dia mendapatkan kelab atau pasukan kebangsaan baharu?”

Kata kata Le Graet ini membuatkan Mbappe tampil dengan komen pedasnya di media sosial. Dia menganggap tindakan Le Graet ini ibarat memperlekehkan legenda sejati negara mereka.

Menerusi satu ciapannya di Twitter, dia menulis: “Zidane adalah Perancis!” – Mbappe merujuk sumbangan penting Zidane sebagai pemain yang membantu Perancis memenangi Piala Dunia pertama dalam sejarah negara mereka.

Mbappe kemudian menambah: “Kita tidak boleh memperlekehkan legenda kita seperti itu [emoji tepuk dahi].”

Kenyataan Le Graet turut mengundang kritikan ramai pihak di Perancis. Dan mereka menyokong kenyataan daripada Kylian Mbappe.

Media di Perancis turut menganggap ini bukan satu isyarat yang bagus apabila pemain bintang utama negara mereka mengecam kenyataan presiden persatuan bola sepak negara mereka.

Ia adalah petanda seseorang harus meninggalkan tempatnya. Dan dalam situasi ketika ini, Noel Le Graet diminta berundur bukannya Mbappe.