Ketua pasukan skuad kebangsaan Jepun, Maya Yoshida menegaskan jurang antara The Samurai Blue dengan pasukan dari rantau Asia Tenggara kini semakin rapat.

Dalam satu temu bual bersama ESPN baru-baru ini, setelah menghadapi Vietnam pada peringkat suku akhir temasya Piala Asia tahun lalu, jurang perbezaan dengan pasukan Asean ketika ini dilihat semakin mengecil.

“Saya rasa jurang perbezaan semakin mengecil. Jepun pernah berhadapan dengan Vietnam dan hanya mampu meraih kemenangan 1-0.

Maya Yoshida
Sumber Gambar: Wikipedia

“Saya rasa tujuh atau lapan tahun lepas lebih mudah untuk kami meraih kemenangan berbanding sekarang.

“Saya lihat, Thailand juga mengeluarkan banyak wang dan mereka kini dibimbing oleh jurulatih dari Jepun iaitu Akira Nishino. Beliau merupakan jurulatih kami ketika temasya Piala Dunia 2018,” kata Maya Yoshida.

Pada perlawanan peringkat suku akhir tersebut, Ritsu Doan berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa kedua sekaligus melayakkan Jepun ke peringkat separuh akhir.

Peningkatan ketara sememangnya terjadi dalam kalangan gergasi Asia Tenggara dimana Thailand kini mempunyai empat pemain yang beraksi dalam saingan J. League.

Maya Yoshida
Sumber Gambar: Buriram United

Selain itu, skuad Gajah Perang mempunyai pemain muda berkualiti seperti Supachok Sarachat, Suphanat Mueanta dan Ekanit Panya.

Vietnam pula berjaya memenangi dua kejuaraan dalam tempoh dua tahun dimana mereka memenangi Piala AFF Suzuki pada 2018 dan pingat emas Sukan SEA 2019.

Indonesia pula kini dibimbing oleh Shin Tae-yong yang merupakan jurulatih Korea Selatan pada temasya Piala Dunia 2018.

Manakala Malaysia pula dilihat semakin aktif dalam mencari pemain warisan bagi memperkuatkan lagi pasukan Harimau Malaya.

Baca artikel lain mengenai pemain Jepun yang beraksi di Eropah di sini:

Eintracht Frankfurt Mahu Perpanjang Kontrak Daichi Kamada

Kubo Memang Bagus & Pitch Invader Antara Perkara Daripada Kemenganan Barca

Barcelona Batalkan Niat Dapatkan Pengganti Hiroki Abe Kerana Kekangan Ekonomi