Syarikat telekomunikasi tersohor negara, Maxis sah menjadi penaja penyiar utama Kejohanan Bola Sepak  Piala Dunia 2018 di Rusia untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

RTM sebagai sebuah stesen televisyen awam di Malaysia akan menyiarkan 41 perlawanan Piala Dunia FIFA 2018 dimana 27 daripadanya adalah siaran langsung dan selebihnya adalah siaran tertunda. RTM melalui saluran TV1 dan TV2 telah memperuntukkan 400 jam masa siaran untuk kesemua 41 daripada 64 perlawanan kejohanan itu.

Maxis tapil sebagai penaja utama ‘Platinum Sponsor‘ dengan jumlah tajaan sebanyak RM18 juta, manakala syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia pula selaku ‘Gold Sponsor‘ dengan jumlah tajaan sebanyak RM12 juta.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mendedahkan kedua-duanya bersetuju menaja siaran langsung untuk disiarkan di RTM, dan memberitahu masih ada lagi pihak akan tampil menaja dan ia dikira keuntungan kepada TV kerajaan.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Maxis dan AirAsia atas sumbangan (penajaan) ini bagi membolehkan kita (RTM) menjayakan projek ini,” ujar Gobind pada sidang akhbar selepas melancarkan siaran Piala Dunia 2018 secara percuma menerusi RTM di Putrajaya.

 

 

 

35076578_10156425868647387_957874025944580096_o

“Kos hak penyiaran, jumlahnya adalah RM30 juta. Kita ada perjanjian spesifik kos berkenaan. Kalau ada pertambahan tajaan, kita boleh dapat siaran (perlawanan) tambahan, perkara itu masih dalam perbincangan,” katanya.

Empat pengacara akan bertugas semasa siaran langsung Piala Dunia 2018 iaitu Fahrin Ahmad, Rasdi Jumaat, Izwan Mohd. Nor dan Azlan Mubin selain dua bekas pemain bola sepak negara, Lim Chan Yew dan Rudie Ramli.