Bekas pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Maurício dos Santos Nascimento mengucapkan selamat tinggal kepada Benjamin Mora yang ditamatkan khidmatnya sebagai ketua jurulatih pasukan pada semalam.

Maurício mengucapkan selamat tinggal kepada Mora menerusi laman Instagram Story miliknya akan tetapi cara pemain itu mengucapkan selamat tinggal kepada Mora dilihat mempunyai maksud yang tersembunyi.

Berdasarkan apa yang ditulis oleh Maurício, ramai yang berpendapat bahawa pemain yang dilepaskan oleh JDT bulan lalu itu mempunyai masalah dengan Mora dan beliau lega kerana pengendali dari Mexico itu kini tidak lagi bersama skuad Harimau Selatan.

Namun, tidak diketahui apa masalah sebenar diantara Maurício Nascimento dan Benjamin Mora sehinggakan pemain berusia 33 tahun itu seolah-olah merayakan Mora ditamatkan khidmatnya sebagai ketua jurulatih.

Menurut pengumuman yang dikeluarkan oleh pihak kelab, Benjamin telah meminta untuk membenarkan beliau pulang ke Mexico bagi menyelesaikan urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan.

“JDT mengucapkan terima kasih kepada Benjamin Mora atas khidmat baktinya.
Benjamin telah meminta untuk membenarkan beliau pulang ke Mexico bagi menyelesaikan urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan dan JDT telah menghormati permintaan tersebut dan akan membiarkan pintu sentiasa terbuka untuk beliau kembali pada masa akan datang,” tulis kenyataan rasmi.

Pengumuman tersebut sekaligus menyangkal dakwaan peminat setia JDT mengenai pemergiannya ke Jepun bagi menyaksikan perlawanan persahabatan diantara PSG menentang Urawa Red Diamond sebagai persiapan menghadapi pusingan kedua AFC Champions League (ACL).

Pemergian Mora agak mengejutkan peminat bola sepak tempatan kerana beliau telah pergi ketika JDT sedang berada dalam prestasi terbaik dalam saingan Liga Malaysia. Harimau Selatan masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Super selepas mengharungi 11 perlawanan.

Benjamin Mora juga merupakan jurulatih JDT yang paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan turut membawa pasukan tersebut ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC tahun ini.

Beliau telah mengendalikan 148 perlawanan sepanjang dua kali tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017, dan memenangi 102 perlawanan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

RASMI: Benjamin Mora Kini Bukan Lagi Jurulatih JDT

RASMI: JDT Umum Hector Bidoglio Sebagai Ketua Jurulatih Baharu

Isu Pengadil Tendang Fazly Mazlan, Subkhiddin Gesa Pihak Bersalah Diadili Sewajarnya