Pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Matthew Davies berazam mahu meraih keputusan positif pada perlawanan kedua peringkat kumpulan G kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini.

Menurut Matthew, memori pahit tewas dengan keputusan 10-0 pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi, empat tahun lalu masih segar dalam ingatan beliau.

Namun, ketua pasukan Pahang ini menegaskan skuad Harimau Malaya tidak boleh terlalu memikirkan tentang sejarah lampau.

Matthew Davies
Matthew Davies. Sumber Gambar: FAM

“Saya masih ingat walaupun saya berada di bangku simpanan. Tapi kali ini kami tampil dengan skuad yang berbeza dan dengan semangat baharu.

“Kami mahukan keputusan positif berdepan UAE, menang atau seri ia akan menjadi keputusan yang baik bagi kami.

“Kami juga tidak hanya mahu mengharungi perlawanan ini untuk mengurangkan jaringan daripada dibolosi, tapi kamu mahukan kemenangan atau mendapatkan mata,” kata Matthew Davies menurut laporan Berita Harian.

Matthew Davies
Matthew Davies ketika beraksi menentang Indonesia. Sumber Gambar: FAM

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe ketika ini menghuni tangga teratas kumpulan G dengan kutipan 3 mata setelah berjaya menundukkan pasukan Indonesia di gelanggang keramat iaitu Stadium Gelora Bung Karno dengan keputusan 3-2 pada Selasa lalu.

Bagi UAE pula, perlawanan menentang Malaysia merupakan perlawanan pertama mereka dalam kempen kali ini dan sudah pasti anak-anak buah Bert van Marwijk mahu menampilkan aksi terbaik bagi meraih tiga mata penuh.

Anda boleh membaca artikel lain mengenai pasukan UAE di sini:

4 Pengadil Jepun Akan Mengendalikan Perlawanan Malaysia Bertemu UAE

Skuad Kebangsaan UAE Tiba Lebih Awal Di Kuala Lumpur