Seperti yang dilaporkan semalam, pemain pertahanan skuad kebangsaan, Matthew Davies sah akan meninggalkan skuad Tok Gajah untuk menyertai juara Liga Super 6 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim 2020.

Ketiadaan Davies yang pernah beraksi bersama kelab Perth Glory dari Australia memberi tamparan hebat buat skuad kendalian Dollah Salleh ketika saingan Liga Super hanya berbaki dua minggu lagi untuk dibuka tirainya.

Bagaimanapun, Davies mengakui sukar untuk meninggalkan pasukan yang disertainya sejak tahun 2015 dan sempat mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dan para peminat yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

“Hari ini merupakan hari terakhir saya bersama pahang fa. Setelah lima musim dengan kelab ini dan lebih 150 perlawanan , saya terpaksa memberitahu perpisahan saya.

“Amat sukar untuk saya mengucapkan dalam kata-kata bahawa negeri ini amat lah bermakna bagi saya dan betapa sukarnya untuk dipisahkan,” tulis Davies dalam satu kenyataan di laman instagram miliknya.

Sepanjang bersama Pahang, Davies yang juga kapten pasukan bermula pada 2016, pernah membantu Tok Gajah muncul sebagai juara Piala FA 2018.

Prestasi mantap yang dipersembahkan pemain berumur 25 tahun itu menyaksikan khidmatnya ditagih skuad bawah 23 tahun negara dan Harimau Malaya.

“Pahang akan selamanya ada tempat yang istimewa di hati saya, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga kepada rakan sepasukan saya, kakitangan Pahang FA dan terutama sekali para2 peminat. ⁣

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tengku Muda Pahang kerana selalu mempercayai saya dan membenarkan saya menjadi kapten pasukan ini sejak 2016, ini menjadi penghormatan bagi saya dan saya akan mengingati detik-detik manis ini selama-lamanya. Walaupun saya berada di tempat lain, Pahang tetap di hati saya,” ujarnya.

Sementara itu, pengendali Pahang, Dollah Salleh mengakui perancangannya sedikit terganggu apabila kehilangan tonggak utama di bahagian pertahanan.

“Dia mahu pergi. Cuma, ia berlaku di saat akhir. Sampai sekarang, kami masih terumbang-ambing. Ada pemain yang cedera, kemudian awang import baru sampai,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perpindahan Matthew Davies melalui pautan dibawah.

Matthew Davies Sertai Johor Darul Ta’zim?

JDT Bayar Harga Tinggi Bagi Dapatkan Khidmat Matthew Davies