Kejayaan pasukan Sabah menjuarai Liga Premier musim 2019 ini telah membangkitkan keterujaan semua penyokong pasukan dari negeri itu ke kemuncaknya selepas mereka kali terakhir berjaya beraksi dalam saingan tertinggi bola sepak Malaysia pada musim 2012.

Namun kejuaraan Liga Premier itu lebih manis dikecapi oleh semua warga Sabah setelah terpaksa menanti selama 23 tahun untuk mengucup status sebagai juara, dimana kali terakhir mereka melakukannya pada musim 1996.

matlan marjan

VocketFC telah berjaya menghubungi lagenda bola sepak Sabah sendiri, Matlan Marjan mengenai kejayaan pasukan Sabah muncul sebagai juara Liga Premier 2019 seterusnya beraksi dalam saingan Liga Super musim 2020.

Ikuti temubual bersama beliau dibawah.

VocketFC:Pada pandangan Matlan Marjan, apakah faktor utama Sabah sehingga bergelar juara Liga Premier dan layak ke Liga Super 2020?

Matlan Marjan: Secara peribadi, faktor utama kepada kejayaan ini adalah kerana Sabah mempunyai seorang Presiden yang memang seorang pemain bola sepak dan pastinya beliau tahu apa keperluan dan juga kepentingan untuk semua pemain.

Datuk Peter Anthony sememangnya banyak menyumbang dalam kejayaan ini. Beliau telah melangsaikan tunggakan gaji semua pemain dan juga turun padang untuk mengetahui segala perkembangan pasukan kami.

VocketFC: Berdasarkan prestasi semua pemain Sabah musim ini, siapa pemain terbaik pasukan secara peribadi dan kenapa?

Matlan Marjan: Rowilson!

Beliau adalah kapten pasukan yang terbaik kerana setiap kali perlawanan, Rowilson banyak memainkan peranan membantu pasukan, malahan beliau juga boleh menjaringkan gol.

“Dalam setiap perlawanan pasukan Sabah, kita dapat lihat kesungguhan dia.”

VocketFC: Pastinya walaupun bergelar juara Liga Premier 2019, masih ada kekurangan yang boleh diperbaiki untuk menghadapi Liga Super 2020. Sebagai bekas pemain lagenda, apa yang perlu ditambahbaik oleh Sabah?

Matlan Marjan: Bagi saya, pasukan Sabah harus mempertingkatkan lagi prestasi kerana saingan dalam Liga Super 2020 pasti akan lebih sengit. Kesungguhan dalam latihan juga turut perlu digandakan.

Kita perlu ingat bahawa kejayaan dalam Liga Premier bukan satu jaminan untuk selesa di Liga Super nanti. Kita harus gandakan usaha menjelang musim Liga Super 2020.

VocketFC: Matlan Marjan sendiri pernah beraksi bersama pemain tempatan dan juga import suatu masa dahulu. Adakah perlu mengekalkan pemain import dalm pasukan atau tidak?

Matlan Marjan: Pemain import harus dikekalkan. Sebabnya, mereka akan dapat menambahkan lagi pengalaman kepada pemain tempatan dan juga akan lebih memberikan ‘pressure’ dalam setiap perlawanan.

Dari segi saiz fizikal pula, ia akan membantu pemain-pemain – simulasi dalam latihan dan juga apabila berada dalam perlawanan sebenar. Bagi saya, pemain import harus dikekalkan.

VocketFC: Apa makna kejayaan ini untuk penyokong Sabah sebenarnya?

Matlan Marjan: Sudah pasti semua penyokong pasukan Sabah cukup gembira kerana selepas 23 tahun baru kita berjaya mengucup kembali kejuaraan Liga Premier. Kami sangat dahagakan kejayaan ini (Juara Liga Premier dan layak ke Liga Super).

Mereka ini penting untuk menaikkan semangat pemain didalam padang ketika beraksi.

VocketFC: Apa yang Matlan Marjan mahu lihat dari pasukan Sabah dalam musim 2020 dan juga mesej kepada semua pemain serta pasukan?

Matlan Marjan: Musim Liga Super 2020 nanti saya mahu pasukan Sabah berada dalam kedudukan Top 3 dan saya harap semua pemain tidak mudah puas dengan kejayaan Liga Premier ini. Kita perlu usaha dan bekerja lebih keras lagi mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super nanti.

Mesej khas Matlan Marjan buat semua.

“Dari saya Matlan Marjan, ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan negeri Sabah kerana berjaya menjadi juara dalam Liga Premier 2019. Dan harap kejayaan ini memberi semangat kepada pemain dan penyokong seluruh negeri Sabah. Saya juga berharap pada tahhun 2020 kita boleh memberikan saingan yang terbaik dalam Liga Super. Tahniah buat pemangku presiden SAFA, Datuk Peter Anthony, ketua jurulatih Jelius Ating dan seluruh pegawai serta pemain Sabah.”

Untuk makluman semua juga, majlis penyerahan trofi juara Liga Premier 2019 akan diadakan pada 13 Julai 2019 bertempat di Stadium Likas ham 8.15 malam.

Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Sabah dalam saingan Liga Super 2020!