Kuota pemain import Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) kini sudah lengkap apabila mereka mengumumkan pemain dari Jerman, Manuel Konrad sebagai rekrut baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2021.

Matlamat dan falsafah baharu Selangor FC telah menjadi faktor utama pemain yang berusia 32 tahun ini menyertai pasukan itu setelah beraksi di Jerman sepanjang kerjayanya.

“Apabila kontrak saya bersama KFC Uerdingen 05 berakhir, saya dihubungi oleh Pengarah Teknikal Selangor FC, Michael Feichtenbeiner serta ketua jurulatih Red Giants, Karsten Neitzel.

“Mereka telah menerangkan tentang matlamat serta falsafah kelab ini dan ia telah memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi pemain penting dalam rancangan mereka,” terang Manu, nama panggilannya dipetik dalam laman web rasmi SFC.

“Saya yakin Selangor FC dapat bermain dengan cara yang menarik dan bersemangat tinggi dengan falsafah yang dirancang. Ia pasti memerlukan sedikit masa untuk menjayakannya, tetapi jika kita bekerja keras kita mampu melakukan apa sahaja,” tambahnya.

Karier remaja beliau bermula pada tahun 2005-2006, di mana beliau menjulang kejuaraan piala German Under-19 Bundesliga South/South-west dengan menjaringkan 12 gol dalam 36 penampilan serta memenangi Kejohanan Bolasepak Jerman B-19 bersama pasukan SC Freiburg B-19 .

Berasal dari wilayah Illertissen, Jerman karier pemain tinggi lampai ini terus meningkat apabila dipanggil mewakili skuad remaja negara kelahirannya untuk pasukan B-19 dan B-20 pada tahun 2006 sehingga 2008.

Pada tahun 2006 juga, Manuel telah diserapkan ke pasukan ‘feeder’ SC Freiburg II setelah mempamerkan aksi yang cemerlang bersama SC Freiburg B-19. Menurut transfermarket.com, beliau telah melakukan 56 penampilan dari 2006 sehingga 2009 bagi pasukan tersebut.

Pemain yang berketinggian 187cm ini juga pernah beraksi di 2. Bundesliga (Liga Divisyen 2 Jerman) bersama pasukan utama SC Freiburg dan berjaya menjulang piala German second tier untuk musim 2008-2009.

Beliau kemudian dipinjamkan ke SpVgg Unterhaching yang bermain di 3. Liga (Divisyen 3 Jerman) untuk pertengahan musim dan kemudian menandatangani kontrak rasmi pada 1 Julai 2009 selama satu musim. Untuk kelab selatan Munich ni, Manuel telah bermain sebanyak 52 perlawanan.

Musim berikutnya, Manuel telah beraksi bersama FSV Frankfurt selama enam musim dari 2010 hingga 2016 dengan mencatat sebanyak 164 penampilan, sekaligus menjadikan penampilan terbanyak dalam karier beliau bagi sesebuah kelab.

Beliau kemudiannya berpindah ke Dynamo Dresden selama dua musim dengan 44 penampilan dan menjaringkan 4 gol dari 2016 hingga 2018.

Sebelum melebarkan sayapnya ke Asia, beliau telah beraksi dalam 65 perlawanan untuk kelab terakhirnya di Jerman iaitu KFC Uerdingen 05 dan merekod satu jaringan gol serta dua bantuan gol sepanjang bersama kelab tersebut.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Chong Yee Fatt Calon Ganti Mehmet Durakovic Kendalikan Perak

Skuad Projek FAM-MSN Sedia Beri Saingan Sengit Dalam Liga Premier 2021

Kedah Berisiko Tidak Dapat Beraksi Di AFC Cup 2021?