Semalam, media tempatan melaporkan mengenai kerisauan penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo yang berdepan masalah apabila gagal menghubungi ejennya, Abdul Halim Abdul Shukor yang juga merupakan Pengarah Urusan Offside Sports.

Mat Yo kini amat memerlukan bantuan ejennya untuk menyelesaikan beberapa perkara seperti situasi semasa wabak pandemik COVID-19 termasuk isu pemotongan gaji.

Namun, Abdul Halim melalui kenyataan balasnya menjelaskan beliau bukannya menghilangkan diri sebaliknya enggan memberi komen mengenai kes yang belum selesai di antara dirinya, ejen Thailand iaitu Pro24, kelab Liga 1 Thailand iaitu BG Pathum United dan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT).

Bagaimanapun, melalui laporan di Sinar Harian hari ini, Mat Yo mendakwa ejennya itu sebenarnya berbohong dan cuba mengalihkan isu sebenar kenapa gagal dihubungi sehingga kini.

“Beliau (Abdul Halim) mendakwa saya tandatangan dengan Pro24 Agency tanpa pengetahuan beliau tetapi perkara sebenar adalah sebaliknya.

“Saya telah maklumkan kepada beliau yang saya sudah tandatangani dengan Pro24 Agency tetapi beliau kata tiada masalah kerana beliau boleh selesaikan perkara itu dengan pihak pengurusan BG Pathum United termasuk pengarah teknikal dan ketua jurulatih.

“Beliau sendiri yang beri jaminan kepada saya ketika itu tiada masalah dan mengapa pula dalam kenyataannya hari ini, beliau kata hal itu berlaku tanpa pengetahuannya?

“Keduanya, beliau mendakwa BG Pathum United masih belum membayar yuran ejen kepadanya tetapi kelab telah memberitahu kepada saya, yuran ejen itu sudah pun diperolehinya. Adakah kelab berbohong atau beliau yang berbohong?

“Secara logiknya kalau belum dapat yuran ejen, sudah tentu beliau masih menghubungi saya dan kelab. Tapi apabila beliau sendiri menghilangkan diri, nampaknya memang dah dapatlah (yuran ejen) rasanya,” katanya dalam Sinar Harian.

Norshahrul Idlan Talaha
Abdul Halim Abdul Shukor. Sumber Gambar: MFL

Ini merupakan kali pertama Mat Yo memilih untuk berhijrah ke kelab luar negara setelah menolak pelbagai tawaran daripada daripada pasukan Liga Super dan Liga Premier musim ini.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Mat Yo berharap ejennya dapat menghubunginya dengan segera supaya tidak dipanjangkan lagi.

“Saya pun tak mahu perkara ini berlarutan. Harap beliau dapat hubungi saja saya segera dan kita boleh berbincang perkara-perkara yang berkaitan dengan baik. Cuma janganlah lepas tangan,” jelasnya.

Baca artikel lain mengenai isu Mat Yo bersama ejennya melalui pautan dibawah. 

Ke Mana Ejen Mat Yo Menghilangkan Diri?