Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengumumkan pelantikan Yang Berhormat Menteri Pertahanan, Tuan Haji Mohamad Sabu sebagai penasihat badan induk bola sepak Kelantan, berkuatkuasa semalam.

Persetujuan tersebut dicapai selepas Presiden KAFA, Dato Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengadakan kunjungan hormat ke atas beliau di Wisma Kementerian Pertahanan, di ibu negara, semalam.

“Bagi pihak KAFA, kita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri Pertahanan di atas kesudian beliau menerima pelantikan sebagai penasihat persatuan ini.

“Beliau akan bertindak selaku penasihat persatuan tetapi tidak mencampuri urusan Majlis Penasihat KAFA yang diwujudkan tiga bulan lalu dan berfungsi sebagai sokongan ke atas usaha menambah baik bola sepak Kelantan,” katanya

Sebahagian Hutang Sudah Diselesaikan KAFA

Dalam perkembangan lain, pihak KAFA juga turut menyatakan bahawa telah berjaya menyelesaikan sebahagian hutang membabitkan tunggakan bayaran kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menjadi salah satu faktor perlesenan kelab digantung, sebelum ini.

Perkembangan positif ini diumumkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif KAFA yang bersidang di Kota Bharu, pada 15 Oktober 2019.

Secara dasarnya, pelepasan daripada ketiga-tiga agensi ini menyaksikan gerak kerja sekretariat KAFA untuk memenuhi kelulusan lesen peringkat kebangsaan semakin menemui titik penyelesaian.

Walaubagaimanapun, KAFA ingin memaklumkan kepada umum bahawa kami masih lagi berdepan satu isu yang perlu diselesaikan segera susulan saman yang dikemukakan bekas pemain import musim lalu, Morgaro Gomis.

Ekoran tuntutan saman daripada pemain kelahiran Perancis itu, ia telah memberi kesan kepada permohonan lesen yang dimajukan oleh pihak KAFA.

Bekas pemain tengah The Red Warriors itu telah mengemukakan saman sebanyak RM540,000 di atas kegagalan pihak pengurusan Kafa terdahulu membayar tunggakan gajinya.

Sehubungan itu, KAFA kini sedang berunding dengan Gomis untuk membayar sebahagian daripada jumlah tuntutan tersebut sebagai jalan penyelesaian bagi mematuhi kriteria perlesenan.

Selain aspek perlesenan kelab, isu gaji para pemain dan pengurusan juga menjadi agenda utama dibincangkan dalam mesyuarat hari ini.

Presiden KAFA, Dato Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan semua exco secara muafakat mengambil tanggungjawab penuh untuk menyelesaikan kemelut berkenaan, selewat-lewatnya 28 Oktober ini.

Baca juga artikel lain berkaitan dengan bola sepak yang mungkin anda terlepas pandang sebelum ini.

Budak Tingkatan 2 Ini Lulus Lesen Tahap 3 Hierarki Pengadil Bola Sepak Jepun

Tiga Pasukan Liga Super Gagal Hantar Dokumen Lengkap Perlesenan Kelab

Sembilan Pasukan Lulus Lesen Kelab Untuk Liga Super 2020