Inter Milan dilaporkan bersedia untuk melepaskan Christian Eriksen selepas peluang untuk melihat pemain tengah itu kembali beraksi di Itali bersama kelab tersebut seolah-olah tidak mampu untuk direalisasikan.

Hal ini kerana pihak berkuasa kesihatan di Itali masih lagi tidak membenarkan Eriksen untuk beraksi di negara tersebut selepas beliau mengalami serangan jantung pada perlawanan sulung Kejuaraan Euro 2020 bertemu Finland, 13 Jun lalu.

Sehubungan dengan insiden mengejutkan di Stadium Parken itu, kesihatan Eriksen pada ketika ini bergantung dengan alat bantuan Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD).

ICD merupakan satu alat yang bertujuan untuk memantau denyutan jantung dan dapat mengesan degupan jantung yang tidak teratur.

Keadaan itu memberikan kesukaran buat pemain berusia 29 tahun itu dimana Ahli Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) tidak membenarkan beliau kembali beraksi selagi tidak disahkan benar-benar sembuh dan tidak lagi menggunakan ICD.

“Dengan merujuk hak pendaftaran pemain, perlu diingatkan bahawa berikutan kecederaan serius yang berlaku semasa Kejuaraan Eropah pada Jun 2021, pemain itu [Eriksen] telah dihalang buat sementara waktu untuk menjalani sebarang aktiviti sukan oleh pihak berkuasa perubatan Itali.”

“Walaupun keadaan semasa pemain tidak memenuhi keperluan untuk mencapai kecergasan sukan di Itali, perkara yang sama boleh dicapai di negara lain di mana pemain boleh meneruskan aktiviti kompetitif [bola sepak],” kenyataan yang dikeluarkan Inter Milan menurut laporan Football Italia.

Kenyataan itu memberikan gambaran jelas bahawa Inter Milan bersedia untuk melepaskan Christian Eriksen ke pasukan lain.

Sumber