Pemain kacukan Malaysia, Jaami Qureshi masih belum menyertai mana-mana pasukan selepas beliau dilepaskan oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Brighton & Hove Albion pada penghujung musim 2021/2022.

Baru-baru ini, Jaami yang bertatus ejen bebas menjalani sesi ujian bersama Derby County B-21 tahun dimana beliau diberikan peluang untuk beraksi selama lapan minit pada perlawanan menentang Sunderland B-21 yang menyaksikan beliau masuk pada separuh masa kedua.

Jaami Qureshi Kunjungi Wisma FAM, Bakal Beraksi Bersama Malaysia?

Sebelum itu, pemain berusia 18 tahun itu turut menjalani dua sesi ujian bersama kelab yang dimiliki oleh jutawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan iaitu Cardiff City dan Queens Park Rangers (QPR) namun tiada sebarang kontrak yang berjaya dicapai oleh pemain dan kelab tersebut.

Jaami Qureshi yang beraksi di posisi sayap menampilkan prestasi yang baik bersama Brighton & Hove Albion dimana beliau mempunyai catatan purata 4 gol dalam setiap perlawanan.

Musim lalu, Jaami membantu Brighton menjuarai saingan Premier League Cup B-17 tahun selepas mengalahkan Middlesbrough di pentas akhir. Sepanjang saingan peringkat kumpulan dan kalah mati, Qureshi menyumbang satu gol iaitu pada perlawanan suku akhir menentang Southampton yang mana Brighton berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 6-1.

Meskipun cemerlang bersama Brighton, namun peluang Jaami untuk beraksi bersama Malaysia dilihat samar setelah bapa kepada pemain itu iaitu Perviz Qureshi lantang mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada sesi lawatan beliau dan anaknya ke Wisma FAM pada Jun lalu.

Perviz mendakwa Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin tidak menghormatinya dan enggan untuk bertemu dengan anaknya selain tidak memperkenalkan Jaami kepada ketua jurulatih skuad kebangsaan iaitu Kim Pan-gon.

Perkara ini nyata membangkitkan kemarahan peminat dimana mereka menilai Jaami sebagai seorang pemain terlalu ‘diva’ dan mahu dilayan seperti seorang bintang walhal beliau hanya seorang pemain muda yang beraksi di akademi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dalam satu temu bual, Jaami Qureshi menegaskan beliau tidak akan memohon pasport Malaysia yang menjadi keperluan sekiranya beliau mahu beraksi bersama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa kerana enggan melepaskan pasport British yang dipegangnya ketika ini.

“Saya memilih untuk kekal di England buat masa ini dan tidak akan memohon pasport Malaysia untuk bergelar pemain tempatan. Saya lihat ramai peminat Malaysia gembira dengan pencapaian saya di sana kerana tidak ramai pemain Malaysia bermain di England. Jadi sebagai pemain berdarah kacukan Malaysia, saya juga bangga,” katanya.