Pada usia yang sudah mencecah 37 tahun, khidmat Luka Modric masih lagi ditagih oleh Carlo Ancelotti untuk memberikan sumbangan berkesan dalam mengepalai jentera tengah Real Madrid.

Peluang yang diberikan nyata tidak disia-siakan oleh pemain tengah kelahiran Croatia itu apabila beliau berupaya untuk menyajikan corak permainan menarik.

Selepas mengharungi lima perlawanan La Liga 2022/23, Modric turut berjaya menjaringkan satu gol dan mencipta satu bantuan jaringan ketika bertemu Celta Vigo di Estadio de Balaidos.

Mengulas mengenai kemampuannya untuk beraksi dengan baik pada usia sebegitu, Modric menjelaskan bahawa tiada rahsia yang boleh dikongsikan kerana semua itu datang dengan semulajadi.

“Mereka sentiasa bertanyakan kepada saya tentang apa rahsianya, tetapi saya tidak tahu apa yang perlu saya katakan kepada anda,” ujar Modric menurut laporan AS.

“Ia adalah bersifat semulajadi. Saya hidup dengan bola sepak 24 jam sehari. Saya merasakan  itu adalah sangat penting bagi saya.”

“Saya menyukai apa yang saya lakukan dan saya juga menikmatinya tidak seperti sebelum ini kerana saya tahu bahawa saya berada di umur yang cukup sukar buat seseorang pemain bola sepak.”

“Mungkin itulah sebabnya mengapa saya begitu menikmatinya tidak seperti sebelum ini kerana anda tidak pernah tahu berapa lama anda akan bermain pada tahap ini dan dalam kelab ini, di mana permintaan [mempamerkan aksi terbaik] adalah di tahap yang maksimum.”

“Saya cuba untuk menikmati sesi latihan dan perlawanan. Semua itu amat membantu untuk menjadi pemain yang baik pada usia sebegini.”

“Sebagai contoh hari ini, saya akan tiba sejam 15 minit lebih awal untuk menjalani latihan dan hampir setiap hari saya akan mengambil sarapan pagi di sini.”

“Saya melakukan senaman bersama fisioterapi di dalam gimnasium supaya saya keluar untuk latihan dengan keadaan yang baik dan bersedia kerana sudah pun memanaskan badan.”

“Kemudiannya saya melakukan latihan, beberapa hari kami berlatih dengan keras dan ada hari tidak begitu. Kemudiannya bergantung kepada apa yang saya rasakan, saya akan terus melakukan aktiviti bersama fisioterapi, apa sahaja yang diperlukan.”

“Kemudian saya pulang ke rumah untuk meluangkan masa bersama keluarga dan anak-anak saya. Saya menjemput mereka pulang dari sekolah pada setiap hari.”

“Ia agak membosankan, bukan?” tambah Luka Modric lagi.

Sumber