Pengurus Manchester City, Pep Guardiola masih belum menarik nafas lega melihat anak buahnya menewaskan Arsenal 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23 yang berlangsung di Emirates Stadium, awal pagi tadi.

Dengan kemenangan penting yang diraih itu, Manchester City kini merampas kembali kedudukan tangga teratas selepas terikat 51 mata tetapi The Gunners masih kekurangan satu perlawanan.

Guardiola yang sudah menghadiahkan empat kejuaraan EPL buat The Cityzens bagaimanapun tidak melihat ia merupakan kelebihan besar buat anak buahnya dan beranggapan perjalanan masih panjang untuk dihadapi.

Mengulas mengenai aksi bertemu Arsenal, Guardiola memuji anak buahnya yang mempamerkan aksi lebih baik pada babak kedua terutamanya sehingga berjaya menambah dua lagi jaringan.

“Pada ketika ini kami berada di tangga teratas liga pada ketika ini tetapi mereka [merujuk kepada Arsenal] masih mempunyai baki satu perlawanan dalam tangan.”

“Ia merupakan satu perjalanan panjang. Terdapat banyak lagi perlawanan yang akan dihadapi,” ujar Guardiola menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi Manchester City.

“Datang ke sini dan mencatatkan kemenangan ke atas pasukan tersebut, dengan aksi separuh masa kedua yang sangat baik dipamerkan.”

“Aksi pada separuh masa kedua cukup cemerlang. Mereka masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan jadi saya masih menganggap mereka merupakan pendahulu liga.”

“Ia amat sukar buat semua orang tetapi apa yang penting adalah kami datang ke sini, beberapa minggu lalu kami ketinggalan lapan, sembilan mata. [Sekiranya] kalah di sini, semuanya akan semakin hampir berakhir buat kami.”

“Dan pada ketika ini faktanya adalah mereka keciciran mata, kami datang ke sini untuk peluang bagi merapatkan lagi jurang mata.”

“Kami berjaya memenangi perlawanan ini. Paling penting ialah kejayaan ke atas pasukan ini di stadium ini.”

“Kami mempunyai lagi satu perlawanan berselang tiga hari lagi dan kemudiannya aksi Liga Juara-Juara Eropah [UCL]. Terdapat banyak lagi perlawanan untuk dimainkan oleh semua orang,” tambah Pep Guardiola lagi.