Selepas mengharungi 3 perlawanan Liga Super pada musim ini, skuad Melaka United masih gagal mengutip tiga mata penuh apabila mengalami dua kekalahan dan satu keputusan seri.

Situasi itu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong setia Melaka United dan mereka juga menuntut pengurusan membuat sesuatu untuk mengembalikan semula prestasi terbaik.

Menurut laporan daripada Bernama, kemerosotan prestasi Melaka United mempunyai kaitan dengan isu tunggakan gaji apabila ketua jurulatih pasukan itu, Risto Vidakovic mendedahkan para pemainnya hilang motivasi dan terpaksa akur dengan kekalahan 1-0 ketika menentang Sabah semalam.

“Kami mempunyai sedikit masalah dan saya harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana kami tidak mampu untuk bekerja dengan baik dalam situasi ini dan jika kami tidak dapat bekerja dengan baik, anda tidak boleh mengharapkan apa-apa kerana ia adalah situasi sukar buat kami,” katanya

Malah, Risto turut menyatakan beliau tidak pernah menghadapi situasi seperti itu bersama mana-mana pasukan lain sebelum ini dan agak terkejut ia berlaku dalam bola sepak Malaysia.

“Sebagai jurulatih, saya tidak pernah berdepan situasi seperti ini sebelum nya dan ini kali pertama. Sukar untuk saya berkata apa-apa kepada pemain kerana mereka telah memberikan segala-galanya untuk pasukan ini dan perlawanan malam ini (menentang Sabah),” jelasnya.

Selepas ini, skuad Hang Tuah itu akan berdepan Kuala Lumpur pada 9 April dan Sri Pahang pada 16 April sebelum berehat selama 2 minggu sehingga Hari Raya Aidilfitri. Dua perlawanan tersebut akan menentu kedudukan mereka sama ada berada di tangga tercorot atau berada di pertengahan liga.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

Tiada Lagi Penundaan Perlawanan Jika Pemain Dan Jurulatih Disahkan Positif COVID-19

Yusri Che Lah: Ada Pemain Jual Motosikal Untuk Kelangsungan Hidup

Disahkan Kanser, Brendan Gan Beri Sokongan Kepada Louis van Gaal