Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT),  Syahmi Safari terpaksa dilepaskan dari Kem Latihan Pusat Skuad Harimau Malaya.

Menurut kenyataan rasmi, pemain itu tidak dapat meneruskan perjuangan bagi menghadapi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023, 8 hingga 14 Jun ini kerana masalah kesihatan.

“Keputusan ini terpaksa dibuat selepas Syahmi yang dibawa ke hospital untuk ujian perubatan, pagi tadi kerana masalah sinus dialaminya semakin teruk telah mendapat nasihat daripada doktor pakar untuk beliau menjalani rawatan susulan dalam kadar segera.

“Kami di barisan kejurulatihan dan pasukan perubatan pasukan yang sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemain telah bersetuju untuk melepaskan Syahmi daripada kem latihan pusat kali ini supaya beliau dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini,” kata kenyataan Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon.

Kim Pan-gon
Sumber Gambar: PFA Malaysia

Dengan ketiadaan Syahmi, baki 29 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat termasuk bagi menghadapi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Hong Kong, malam esok dan tiada penambahan pemain baharu buat masa ini.

Kemudian mereka akan menghadapi 3 perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan (8 Jun), Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun 2022) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Para penyokong masih boleh mendapatkan tiket semua perlawanan tersebut  menerusi laman web www.tickethotline.com.my.

Saksikan semua perlawanan skuad Harimau Malaya secara langsung di saluran TV9 atau boleh klik https://tonton.com.my/live/tv9

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Kim Pan-gon Beri Bayangan Kekalkan Corak Permainan Bertemu Hong Kong

Sukan SEA: Dua Jaringan Luqman Bantu Malaysia Tewaskan Laos

Brad Maloney: Pemain Begitu Bersemangat Untuk Beraksi