Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) semalam telah mengumumkan mereka menandatangani pemain tengah, David Rowley dari pasukan Kelantan selaku pemain baharu skuad Hijau Kuning bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Sebelum KFA membuat pengumuman mengenai perpindahan David, salah sebuah pengguna Facebook, Kelantan FC — Proud and Soul membuat pendedahan mengenai sebab utama pemain kelahiran Australia berusia 29 tahun itu meninggalkan pasukan Kelantan.

Menurut laman tersebut, Rowley tidak menerima sebarang gaji sejak beraksi bersama skuad The Red Warriors. Selain itu, persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) turut gagal untuk membayar duit sewa untuk rumah sewa yang diduduki oleh keluarga Rowley. Kegagalan KAFA berbuat demikian membuatkan keluarga Rowley dihalau dari rumah tersebut.

Masalah kewangan sememangnya menjadi isu utama yang dihadapi oleh pasukan Kelantan musim ini. Pada awal musim ini, Kelantan dikenakan hukuman pemotongan mata selepas gagal mengikuti arahan dan tempoh masa ditetapkan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

KAFA diarahkan untuk membayar pampasan kepada bekas Pengarah Teknikal pasukan, Alfredo Carlos Gonzalez yang ditamatkan khidmatnya. Namun KAFA gagal berbuat demikian.