Bilik persalinan Manchester United nampaknya terus panas. Ini selepas pengurus interim Ralf Rangnick membuat kenyataan yang tidak tepat kepada umum.

Rangnick berhadapan dengan media selepas keputusan seri 2-2 Man United di Villa Park.

United mendahului 2 gol, tetapi masih gagal untuk memenangi perlawanan. Kemasukan bekas pemain Liverpool, Coutinho membuatkan Manchester United gigit jari.

Apa yang dikatakan Rangnick?

Ralf Rangnick berdepan dengan krisis kecederaan beberapa pemain utama termasuk Cristiano Ronaldo. Namun pengurus itu terpaksa menggunakan pemain muda.

Hal ini kerana Anthony Martial dituduh tidak mahu bermain lagi untuk Man United malah turut tidak mahu berada di bangku simpanan sekalipun.

Oleh sebab itu Martial tidak bersama skuad dalam kunjungan mereka ke Aston Villa.

“Dia tidak mahu berada dalam skuad,” kata Rangnick.

“Dia sepatutnya berada dalam skuad tetapi dia tidak mahu bermain untuk kami lagi dan itulah sebabnya mengapa dia tidak datang bersama kami.”

Martial sebelum ini disisihkan daripada tugasan selepas pemain itu meminta untuk dilepaskan ke kelab lain. Martial dikatakan mahu berunding dengan kelab lain. Maka dia tidak berada dalam pasukan.

Martial sudah bertemu dengan Ragnick secara bersemuka menyatakan tentang kemahuannya untuk angkat kaki kerana kecewa dengan minit perlawanan yang terlalu sedikit.

Rangnick sudah memberitahu bahawa beliau sedia melepaskan Martial dengan syarat United mendapat harga yang tepat dibayar oleh pembeli pemain itu.

Hubungan Martial dengan Rangnick mulai retak ketika ejen pemain itu membuat kenyataan media terbuka menyatakan bahawa Martial mahu meninggalkan Man United.

Dan kini keadaan ibarat retak menanti belah.

Kenyataan balas Martial

Anthony Martial tidak berdiam diri selepas dituduh tidak mahu bermain untuk United lagi. Martial menganggap kenyataan itu mencalarkan imejnya sebagai pemain porfesional.

Martial mendapat kecaman dan dihentam teruk di media sosial selepas kenyataan Rangnick itu.

Menerusi IG Story-nya, Martial berkata: “Saya tidak sesekali akan pernah menolak untuk bermain untuk Man United.”

“Saya telah berada di sini selama tujuh tahun dan saya tidak pernah tidak biadap  dan tidak akan sesekali tidak menghormati kelab dan penyokong,” kata pemain asal dari Perancis itu.