Persoalan peminat bola sepak tempatan mengenai larangan membawa masuk bendera Malaysia ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) akhirnya terjawab apabila pihak Marshall JDT menjelaskan sebab sebenarnya menerusi laman facebooknya.

Isu tersebut menjadi bualan hangat di media sosial apabila salah seorang penyokong mendakwa telah ditegur oleh Marshall yang bertugas kerana mengibarkan bendera Malaysia ketika nyanyian lagu Negaraku sebelum sepak mula perlawanan.

“Tiada kibaran jalur gemilang dibenarkan di SSI. Kami harap tuan dapat memahami larangan ini,” tulis Marshall JDT ketika menjawab soalan daripada netizen.

Menurut kenyataan daripada Marshall JDT itu, bendera Malaysia tidak dibenarkan bawa masuk kerana setiap perlawanan yang berlangsung adalah melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan skuad Malaysia.

“Sebabnya adalah kehadiran penyokong adalah bagi menyaksikan perlawanan yang melibatkan pasukan JDT dan bukannya Malaysia. Oleh yang demikian, kami berharap agar selepas ini jangan dibawa jalur gemilang ke SSI. Maaf ya tuan,” jelas Marshall JDT tersebut di ruang komen.

Jawapan daripada Marshall tersebut turut mendapat reaksi yang berbeza dalam kalangan peminat bola sepak tempatan. Ada juga berpendapat ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana perlawanan tersebut melibatkan kelab bukan pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun, difahamkan tiada larangan untuk membawa masuk bendera pasukan lain jika mereka beraksi di Stadium Sultan Ibrahim menentang JDT dalam perlawanan Liga Malaysia.

Sebelum ini, Marshall JDT sentiasa mengingatkan para penyokong Harimau Selatan mengenai larangan bawa masuk beberapa barang berbahaya ke Stadium Sultan Ibrahim untuk tujuan keselamatan orang awam.

Antara barang tersebut ialah rokok, payung, helmet, pemetik api, power bank, botol, minuman alkohol, pisau dan lampu laser.

Sebagai langkah keselamatan, mereka akan melakukan pemeriksaan tubuh badan dan beg di setiap pintu masuk dan juga sekitar perkarangan stadium.

KEMASKINI: JDT nafi mengeluarkan arahan larangan kibar Jalur Gemilang. Baca lebih lanjut di sini, https://www.vocketfc.com/kenyataan-marshall-jdt-tidak-tepat-tiada-larangan-bawa-masuk-bendera-malaysia/