Pemain muda meningkat naik skuad kebangsaan Indonesia, Marselino Ferdinan bakal beraksi di Eropah apabila beliau dikhabarkan menyertai salah satu kelab yang bersaing di Liga Belgium.

Perkara ini dikongsikan oleh salah sebuah media bola sepak negara tersebut dimana kelab yang bakal diaertai oleh Marselino ialah Beerschot VA, kelab yang ketika ini beraksi dalam liga divisyen dua Belgium.

Pengurus Persebaya Surabaya, Yahya Alkatiri menegaskan pemain berusia 18 tahun itu akan terbang ke Belgium dalam masa terdekat dan pihak kelab akan membuat pengumuman sekiranya pemain itu menandatangani kontrak bersama mana-mana kelab.

Yahya enggan berkongsi dengan media sama ada Marselino terus menyertai pasukan ataupun harus menjalani sesi ujian dan pemilihan terlebih dahulu.

Meskipun baru menginjak usia 18 tahun, namun Marselino Ferdinan menjadi salah seorang pemain utama Shin Tae-yong dalam skuad kebangsaan Indonesia baik senior mahupun bawah umur.

Baru-baru ini, Marselino dipilih sebagai Pemain Muda Terbaik saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 setelah membantu Indonesia mara sehingga ke peringkat separuh akhir.

Marselino menjaringkan satu gol ketika perlawanan peringkat kumpulan A menentang Filipina selain menjadi pilihan Tae-yong untuk diletakkan dalam kesebelasan utama.