Selepas tiga minggu bertarung dengan penyakit wabak COVID-19, bekas pemain tengah Manchester United, Marouane Fellaini akhirnya discaj keluar dari hospital di China semalam selepas disahkan sembuh menurut kenyataan rasmi daripada kelabnya, Shandong Luneng.

Pemain yang berusia 32 tahun itu merupakan pemain kelab Liga Super China pertama dijangkiti wabak pandemik dan kini dikuarantin selama 14 hari di rumahnya.

“Fellaini akan berada dalam pemantauan doktor dan beliau disahkan sudah sembuh serta dikeluarkan dari hospital hari ini,” kata kenyataan rasmi daripada Shandong Luneng.

Pada 22 Mac lepas, Fellaini positif COVID-19 ketika melakukan ujian saringan dengan jabatan kesihatan tempatan selepas tiba dengan menaiki kereta api dari lapangan terbang.

Beliau turut memberi penghargaan kepada para petugas perubatan di hospital tersebut menerusi Instagram rasmi.

“Masa sudah tiba buat saya mengucapkan terima kasih kepada staf perubatan di hospital, staf jururawat serta pengawai perubatan kelab yang memberikan rawatan kepada saya,” tulisnya.

Walaupun kes COVID-19 di negara tersebut mencatat penurunan yang mendadak, Liga Super China masih belum berlangsung sehingga kini selepas ditangguhkan pada bulan Februari lalu.

Sepanjang bersama Shandong Luneng, Fellaini telah melakukan 34 penampilan dan menjaringkan 12 gol. Malah, beliau sempat diturunkan dalam perlawanan menentang wakil dari Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan AFC Champions League pada musim lepas.

Baca artikel lain berkaitan dengan penularan wabak COVID-19 sehingga menjejaskan sukan bola sepak. 

Bekas Presiden Olympique Marseille Meninggal Dunia Kerana Dijangkiti COVID-19

Semua Pemain Kitchee SC Dikuarantin Selepas Kakitangan Kelab Positif COVID-19

Manchester City Umum Ibu Pep Guardiola Meninggal Dunia Akibat Jangkitan COVID-19