Bekas pemain Manchester United, Mark Hughes berpendapat peledak berbisa, Harry Kane mampu untuk kembali membawa kelab tersebut meraih kegemilangan seperti yang pernah dilakarkan sebelum ini.

Destinasi baharu Kane jelas menjadi perhatian ramai selepas beliau tanpa berselindung meluahkan hasrat untuk meninggalkan Tottenham Hotspur pada penghujung musim ini kerana masih lagi ketandusan piala diidamkan.

Tottenham terlepas peluang terbaik untuk menamatkan penantian panjang bagi menjulang piala pada tahun ini apabila kecundang 0-1 pada perlawanan akhir Piala Carabao di tangan Manchester City, April lalu.

Sehubungan dengan itu, Hughes yang pernah beraksi bersama United bermula 1988/89 hingga 1994/95 mampu untuk menjadi tambahan berguna buat The Red Devils sekali gus membantu kelab tersebut menjulang piala seperti kebiasaan dilakukan lebih tepat lagi ketika dibimbing Sir Alex Ferguson.

“Saya merasakan Kane mampu untuk kembali menjadikan United sebagai sebuah pasukan pilihan juara dalam mana-mana pertandingan yang disertai,” ujar Hughes menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Menyaksikan permainan United pada musim ini, perkara utama yang menjadi masalah buat saya ialah mereka tiada titik sasaran pada bahagian serangan, apabila [Edinson] Cavani tidak beraksi dan pemain seperti Marcus Rashford, Anthony Martial atau Mason Greenwood bermain sebagai penyerang, ia tidak begitu berfungsi seperti diharapkan.”

“Dari kaca mata saya, saya suka melihat Harry Kane berada di sana [Manchester United] kerana saya rasa dia cukup sesuai buat pasukan. Dia memiliki ramai bakat berkualiti di sekelilingnya dan mereka akan memberikannya platform untuk menjulang trofi.”

“Ia kerana amat jelas Harry Kane berada pada tahap terbaik di mana [kegagalan mendapatkan trofi] merupakan sesuatu yang hilang dari kariernya,” tambah Hughes lagi.

Baca artikel lain mengenai Harry Kane:

TERKINI: Harry Kane Beritahu Spurs, Mahu Angkat Kaki Demi Trofi

Kempunan Trofi Terus Jadi Kegusaran Buat Harry Kane

Harry Redknapp: Kenapa Kane Perlu Ke Man United? Mereka Bukannya Lebih Baik Dari Spurs

 

Sumber