Bekas pengadil saingan Liga Perdana Inggeris, Mark Clattenburg berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk bola sepak dimainkan selama 60 minit dengan kaedah ‘stop-clock’ bagi mengelakkan sesebuah pasukan daripada membuang masa.

Sudah menjadi kebiasaan bagi sesebuah pasukan yang sedang mendahului permainan untuk melengah-lengahkan masa terutamanya pada lewat permainan dan ia pastinya tidak disenangi oleh pasukan lawan mereka.

‘Stop-clock’ yang dimaksudkan ialah masa permainan tidak akan berjalan selagi permainan tidak diteruskan oleh pengadil seperti situasi kekasaran dan bola keluar. Keadaan yang serupa seperti ragbi, bola keranjang, futsal dan hoki.

Sehubungan dengan itu, jika ‘stop-clock’ diimplementasikan dalam bola sepak, tidak ada masa tambahan seperti yang diperolehi pada ketika ini.

Pendapat itu disuarakan oleh Clattenburg yang pernah mengadili perlawanan akhir Kejuaraan Eropah dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2016 selepas melihat insiden pemain Real Madrid yang melengahkan masa pada aksi separuh akhir UCL bertemu Manchester City, semalam.

“Saya merasakan terdapat jalan penyelesaian terhadap perkara ini [melengahkan masa] iaitu memperkenalkan masa permainan selama 60 minit dengan kaedah ‘stop-clock’.”

“Ia merupakan cetusan idea daripada Pierluigi Collina, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Lembaga Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB),” ujar Clattenburg menurut laporan Sportbible.

“Ia nyata berhasil dalam bola keranjang dan boleh juga berfungsi dalam bola sepak.  Waktu dihentikan apabila bola keluar daripada permainan, sebagai contoh, terdapat kecederaan yang menyebabkan permainan tergendala, atau pengadil memberikan kad kuning dan melayani bantahan daripada pemain.”

“Dengan cara ini, setiap perlawanan akan berlangsung dengan tempoh masa yang sama dan ia secara tidak langsung boleh mengurangkan kontroversi,” tambah Mark Clattenburg lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak di seluruh dunia:

Ibu Kylian Mbappe Nafi Anaknya Bakal Perbaharui Kontrak Bersama PSG

ACL 2022: Chanathip Terkilan Kawasaki Frontale Gagal Lepasi Peringkat Kumpulan

Sukan SEA: Rahadiazli Dan Dua Pemain JDT Tidak Dipilih Dalam Senarai Akhir

 

 

Sumber