Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Salah seorang pengurus ternama dunia, Marcelo Bielsa dilaporkan berminat untuk menjadi pengurus baharu skuad kebangsaan Korea Selatan.

Artikel Berkaitan:

Menurut perkongsian salah seorang wartawan bola sepak di Korea, Bielsa telah menghantar permohonan untuk menjadi pengurus baharu negara itu setelah posisi tersebut ditinggalkan oleh Paulo Bento yang tidak menyambung kontrak setelah temasya Piala Dunia 2022 tamat.

Kali terakhir Bielsa bergelar pengurus ialah ketika bersama Leeds United dimana beliau memulakan tugas pada musim 2018/2019 yang turut menyaksikan Bielsa menjadi pengurus yang menerima gaji tertinggi dalam sejarah kelab.

Setelah tiga setengah musim bersama Leeds, Marcelo Bielsa memutuskan untuk meninggalkan kelab itu pada musim 2021/2022 setelah rentetan prestasi buruk yang ditampilkan oleh kelab dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bersama pasukan kebangsaan pula, Bielsa mempunyai pengalaman menguruskan skuad kebangsaan Argentina dan Chile dimana pencapaian yang paling diingati ialah ketika beliau membimbing skuad Olimpik Argentina memenangi pingat emas ketika temasya di Athens pada 2004.

Bersama Chile pula, Bielsa membantu pasukan itu layak ke temasya Piala Dunia pada 2010 dimana Chile berjaya mara sehingga ke pusingan 16 pasukan terakhir yang mana mereka tewas kepada Brazil.

Meskipun jarang menguruskan pasukan besar terutamanya di peringkat kelab, namun Bielsa dianggap sebagai salah satu pengurus terbaik dunia dan pengurus Manchester City, Pep Guardiola turut menjadikan Bielsa sebagai idola.

Bekas penyerang Argentina, Gabriel Batistuta dan bekas penyerang Sepanyol, Fernando Llorente menganggap Bielsa sebagai salah satu pengurus bijak dan terbaik yang pernah bekerjasama dalam karier mereka.

Selain Bielsa, seorang lagi pengurus yang berminat untuk menjadi pengendali baharu Korea Selatan ialah Vahid Halilhodžić yang mempunyai pengalaman menguruskan pasukan dari Asia.

Vahid pernah dilantik sebagai pengurus skuad kebangsaan Algeria, Ivory Coast dan juga Jepun sepanjang kariernya dan beliau bakal memberikam cabaran hebat kepada Bielsa untuk jawatan tersebut.