Marcelo Bielsa kini menjadi pilihan utama untuk menggantikan Frank Lampard di Everton sebagai pengurus mereka.

Bielsa berminat dengan tawaran menjadi pengurus Everton. Namun pengendali dari Argentina itu menyatakan bahawa Everton yang ada sekarang tidak sesuai dengan bola sepak yang dia mahu mainkan.

Bielsa dikenali dengan sistem permainan yang sangat intensif. Sistem permainan yang disebut ‘murderball’.

Dalam pasukan Everton yang ada sekarang, Bielsa mendapati ramai pemain yang tidak cukup pantas dan membuatkan pasukan ini akan menjadi sangat sukar bermain sistem tersebut.

Bielsa sudah membuat analisis terperinci tentang Everton sejak dia berada di England bersama Leeds lagi.

Dan dia turut membuat analisis tentang beberapa pemain baharu. Analisis tersebut juga menunjukkan hasil yang hampir sama.

Lantas dia berpendapat pasukan Everton ini terlalu lembab atau perlahan untuk bermain murderball.

Jika Everton mahukan khidmatnya, Bielsa meletakkan syarat bahawa kelab itu harus memberikannya beberapa pemain sebelum jendela perpindahan ditutup.

Dengan jendela perpindahan yang tinggal kurang seminggu lagi, agak sukar untuk Everton menunaikan hasrat itu.

Marcelo Bielsa tidak yakin akan dapat membantu Everton keluar daripada zon penyingkiran dengan gaya permainan yang dia mahu terapkan. Kerana ianya akan mengambil masa.

Everton memecat Frank Lampard selepas pasukan itu terus bergelumang dengan zon penyingkiran.

Selain itu, pemilik kelab turut meletakkan Everton sebagai pasukan untuk dijual dan meletakkan tanda harga sekitar €400 juta.