Bekas pengurus Juventus FC, Marcello Lippi mengumumkan perletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan China selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Syria dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai semalam.

Ini merupakan kekalahan pertama China selepas mengharungi 4 perlawanan dan menyebabkan mereka kini ketinggalan 5 mata di belakang pendahulu kumpulan A, Syria yang berjaya mengumpulkan 12 mata setakat ini.

Situasi itu juga menyukarkan impian China memburu tiket automatik ke pusingan ketiga bagi merealisasikan hasrat untuk beraksi di Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah bola sepak mereka.

“Gaji tahunan yang dibayar kepada saya terlalu tinggi. Saya bertanggungjawab di atas kekalahan ini. Sekarang, saya umumkan perletakan jawatan secara rasmi,” katanya kepada sidang media selepas perlawanan itu.

Pada Januari lalu, pengendali dari Itali itu pernah menolak untuk menyambung kontraknya bersama Persatuan Bola Sepak China (CFA) selepas skuad bimbingannya tumpas kepada Iran 0-3 pada suku akhir Piala Asia 2019.

Malah, pengganti beliau yang merupakan bekas kapten skuad Piala Dunia Itali, Fabio Cannavaro turut mengumumkan perletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih selepas gagal meraih kemenangan pertama ketika menentang Thailand dan Uzbekistan dalam Kejohanan Piala China. Mereka tewas 0-1 kepada kedua-dua pasukan tersebut.

Mengulas mengenai aksi pasukan Syria semalam, Lippi menyifatkan pasukan lawan itu layak meraikan kemenangan kerana bermain lebih baik daripada anak buahnya yang dilihat gagal beraksi mengikut taktikalnya.

“Mereka bermain jauh lebih bagus daripada pemain kami. Bagi setiap pasukan, pemain harus beraksi dengan sepenuh hati di atas padang dan mengikut segala arahan jurulatih.

“Jika mereka takut dan kurang motivasi serta tidak mengikut apa yang diajar ketika dalam sesi latihan, saya yang bertanggungjawab sepenuhnya,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak asia yang kami sediakan untuk anda.

Akira Nishino Gesa Pemain Lupakan Kekalahan Kepada Malaysia Dan Fokus Untuk Hadapi Vietnam

Simon McMenemy Merajuk, Enggan Sertai Indonesia Untuk Perlawanan Menentang Malaysia