Semalam, kelibat pemain import baharu Sri Pahang, Manuel Hidalgo telah mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan apabila mempamerkan persembahan memukau ketika menentang Selangor di Stadium Darul Makmur.

Pada perlawanan itu, penyerang skuad tok gajah, Abdul Malik Mat Ariff muncul penyelamat apabila jaringannya pada minit akhir menafikan peluang Selangor untuk membawa pulang 3 mata penuh.

Lebih menarik, Hidalgo turut terlibat menjaringkan gol pertama pada minit ke 48 yang membangkitkan semangat rakan-sepasukan untuk terus mengandakan asakan ke kubu Selangor.

Prestasi pemain berusia 22 tahun itu turut mendapat pujian daripada para penyokong setia Sri Pahang yang mahu pengurusan kelab mengikat kontrak jangka panjang sebelum disambar oleh kelab besar.

Bagaimanapun, Hidalgo dalam sidang media selepas perlawanan menjelaskan beliau masih belum cergas sepenuhnya dan akan mengambil peluang cuti panjang selama dua bulan nanti untuk menjalani latihan meningkatkan staminanya.

“Saya belum cergas lagi, saya boleh merasainya dalam badan tetapi saya harap selepas satu perlawanan dan ketika liga berehat 1-2 bulan nanti saya akan kembali cergas sepenuhnya dan membantu pasukan menjadi lebih baik,” jelasnya.

Hidalgo juga mengakui sangat gembira dapat beraksi bersama Sri Pahang walaupun turut menerima tawaran daripada beberapa kelab eropah ketika membuat keputusan untuk meninggalkan Sheffield Wednesday.

“Ketika di England, saya teringin nak tahu tentang Malaysia dan ejen saya beritahu makanan di sini sangat bagus, keadaan cuaca juga bagus. Saya benar-benar gembira dapat berada disini.

“Dia beritahu segalanya tentang Malaysia. Saya beritahunya saya hanya mahu bermain serta terus bermain bersama Pahang dan saya sangat gembira,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan.

Kurniawan: “Amri Ini Walaupun Berusia 40 Tahun, Dia Sangat Efisien Dan Efektif Menggunakan Tenaga.”

Shahrul Saad Akui Terima Tawaran Dari Sri Pahang

Shahrel Fikri Alami Kecederaan “Fibula Fracture“, Bakal Terlepas Aksi Kelayakan Piala Dunia