Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) sedang menimbangkan untuk melantik Alexandre Polking atau dikenali Mano Polking sebagai Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Thailand bagi menggantikan tempat Akira Nishino yang dipecat pada bulan Julai lalu.

Pengendali dari Jerman itu menjadi pilihan utama kerana sangat memahami budaya bola sepak negara itu dan mempunyai pengalaman menjadi pembantu jurulatih skuad kebangsaan Thailand pada tahun 2012 hingga 2013.

Menurut laporan daripada SMM Sports, pemilihan Polking sebagai Ketua Jurulatih dibuat oleh pengurus pasukan, Madam Pang dan pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat. Tugas pertama Polking ialah menyiapkan Thailand bagi menghadapi saingan Piala Suzuki AFF hujung tahun ini.

Ia adalah perancangan jangka pendek mereka untuk menilai prestasi jurulatih itu sebelum menawarkan kontrak lanjutan.

Polking juga baru sahaja meninggalkan kelab Vietnam, Ho Chi Minh City dan FAT dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan jurulatih itu.

Kehadirannya juga disambut baik oleh peminat bola sepak Thailand berdasarkan pengalamannya melatih beberapa kelab Thai League seperti Army United (2013), Suphanburi FC (2014) dan True Bangkok United (2014-2020).

Antara pencapaian terbaik Mano Polking dalam saingan Liga Thailand ialah membantu Bangkok United muncul sebagai naib juara Thai League 1 sebanyak dua kali pada musim 2016 dan 2018 serta naib juara Piala FA pada musim 2017.

Namun begitu, Polking tidak berjaya membantu Ho Chi Minh City menghuni kedudukan lima teratas dalam saingan Liga Vietnam musim ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Piala Suzuki AFF: Diundi Dalam Kumpulan ‘Neraka’, PSSI Yakin Indonesia Ke Separuh Akhir

Park Hang-seo Anggap Undian Piala AFF Biasa Saja, Tiada Yang Istimewa

Singapura Mungkin Dipilih Sebagai Tuan Rumah Piala Suzuki AFF 2020

Fandi Ahmad Sifatkan Malaysia Bertuah Miliki Luqman Hakim Dan Arif Aiman