Manchester City terus membuktikan kehebatan mereka dalam saingan EPL musim ini apabila membelasah pasukan rival, Manchester United 6-3 di Stadium Etihad.

Pesta gol City bermula seawal minit ke 8 apabila Phil Foden melepaskan rembatan kencang dalam kawasan kotak penalti sehingga menewaskan De Gea hasil hantaran cantik Bernardo Silva.

Tidak cukup dengan itu, penyerang prolifik City, Haaland turut menambah dua gol pada minit ke 34 dan 37 selepas menerima umpanan cantik daripada Kelvin De Bruyne.

City jelas menguasai perlawanan dengan cemerlang dan mereka terus menjaringkan gol keempat menerusi Phil Foden sebelum menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 4-0.

Bagaimanapun, United kembali menunjukkan kebangkitan di separuh masa kedua dan hasilnya mereka berjaya menjaringkan satu gol menerusi rembatan cantik Antony dari luar kotak penalti pada minit ke 56.

Namun begitu, jaringan tersebut tidak mematahkan semangat City dan mereka mengandakan asakan bertubi-tubi sehingga memberi tekanan kepada benteng pertahanan United.

Pada minit ke 64, Stadium Etihad kembali bergegar dengan sorakan ribuan penyokong City apabila Haaland melengkapkan jaringan hatrik menerusi rembatan padu hasil hantaran Gomez.

Ini adalah jaringan ke 14 Haaland selepas mengharungi 8 perlawanan EPL bersama City pada musim ini. Phil Foden turut mencipta hatrik apabila menambah gol keenam pada minit ke 73.

Walaupun ketinggalan 6-1, ia masih tidak menghalang United untuk menambah dua lagi gol pada minit ke 84 dan 90 menerusi Anthony Martial. Keputusan 6-3 kekal sehingga tamat separuh masa kedua.

Keputusan ini bermakna City masih mengekalkan rekod tanpa kalah dengan 20 mata selepas 8 perlawanan dan masih berpeluang untuk memintas Arsenal yang berada di puncak liga dengan 21 mata.