Manchester United bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatatkan keputusan seri 2-2 ketika berdepan Leeds United pada aksi ke-22 Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23 yang berlangsung di Old Trafford, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad The Red Devils ketinggalan dua mata dibelakang pasukan tangga kedua, Manchester City tetapi juara bertahan itu kekurangan satu perlawanan.

Penyokong tuan rumah bagaimanapun tersentak seawal minit pertama apabila ledakan daripada luar kawasan penalti oleh Wilfried Gnonto gagal diselamatkan penjaga gol, David De Gea bagi memberikan jaringan pembukaan buat Leeds United.

Aksi 10 minit awal nyata menjadi tempoh sukar buat Manchester United selepas pasukan lawan memberikan tekanan hebat dan hampir menambah jaringan kedua menerusi Pascal Struijk.

Namun, tolakan ketika situasi bola udara oleh pemain bek kiri itu selepas menerima umpanan lintang daripada Jack Harrison diselamatkan De Gea.

Permainan selepas itu menyaksikan Manchester United pula melancarkan beberapa siri serangan berbahaya ke arah pintu gol Leed United yang dikawal Illan Meslier.

Ia dibuktikan apabila Alejandro Garnacho mendapat dua peluang terbaik tetapi percubaannya dalam kawasan penalti pada minit ke-18 hanya sedikit tersasar di sebelah kanan.

Manakala, tolakannya setelah berjaya melepasi kawalan Meslier susulan umpanan berkualiti Bruno Fernandes berselang sembilan minit kemudian digagalkan oleh Maximilian Wober.

Meslier kemudiannya cemerlang dalam menepis keluar percubaan dari luar kawasan penalti oleh pemain pinjaman baharu, Marcel Sabitzer pada minit ke-31.

Anak buah Erik ten Hag terus tertekan ketika permainan memasuki minit ke-48 apabila Raphael Varane tertampan bola ke gawang sendiri dalam usahanya untuk menghalang hantaran lintang Crysencio Summerville.

Percaturan ten Hag dalam membawa masuk Facundo Pellistri dan Jadon Sancho nyata membuahkan hasil dimana kedua-dua pemain amat membantu dalam kebangkitan ditampilkan United.

Berpunca daripada gerakan Pellistri yang memberikan ruang kepada Diego Dalot untuk melakukan hantaran ke dalam kawasan penalti, ia disempurnakan dengan baik oleh Marcus Rashford untuk menanduk masuk bola bago merapatkan jurang gol pada minit ke-62.

Leeds yang terlepas peluang untuk menambah jaringan susulan sepakan percuma Brenden Aaronson yang sekadar singgah di tiang gol pada minit ke-65 terpaksa menelan kepahitan dibolosi sekali lagi berselang lima minit kemudian.

Gol penyamaan itu menjelma hasil kombinasi menarik antara Luke Shaw dan Sancho yang melakukan gerakan di sebelah kanan pintu gol lawan sekali gus percubaan pemain jentera serangan itu berjaya menewaskan Meslier.

Jaringan itu nyata menyemarakkan lagi api perjuangan barisan pemain Manchester United dan mereka hampir melakukannya pada minit ke-77.

Tetapi, Meslier lebih bersedia untuk menafikan tandukan Varane selepas menerima umpanan cantik daripada Bruno Fernandes.

Kedudukan terikat itu kekal hingga tamat permainan yang menamatkan rentetan enam kemenangan berturut-turut The Red Devils di laman sendiri dalam kempen liga.