Erling Haaland cetak gol ke-20 beliau dalam semua pertandingan pada musim ini. Apa yang lebih penting  buat Pep Guardiola adalah kekuatan pasukan Manchester City secara berpasukan yang berada di tahap menggerikan.

Mana tidaknya, selepas menewaskan Man United 6-3 dan kemudian membelasah FC Copenhagen 5-0, mereka menang 4-0 pula kali in.

Separuh  masa pertama sahaja, juara bertahan itu telah menduhului lawan mereka 3 gol tanpa balas.

Joao Cancelo, Phil Foden dan Riyad Mahrez turut berada dalam daftar penjaring gol, sebelum Haaland cetak gol ke-20 beliau musim ini selepas 65 minit, mengatasi Gavin Bazunu.

Ini adalah rekod terpantas Haaland cetak gol ke-20 semusim dalam kariernya. Haaland setakat ini sudah mencetak 134 gol daripada 124 perlawanan pada usianya yang sangat muda.

Ia adalah perlawanan City ke-10 berturut-turut di mana pemain Norway itu menjaringkan gol, dan dalam tempoh itu Haaland turut mencetak 3 hatrik dalam Liga Perdana Inggeris.

Tidak hairanlah pengurusnya bergurau selepas itu: “Saya sangat kecewa dengannya – dia tidak menjaringkan tiga gol. Itulah sebabnya terdapat petisyen untuk mengusirnya daripada Liga Perdana!”

Southampton yang terus dirundung malang, semakin menghampiri zon penyingkiran.

Pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl berkata: “Ianya sukar menentang pasukan yang lengkap. Kami tidak cukup ‘jahat’.”

Ralph Hasenhuttl pastinya merujuk kepada statistik yang menunjukkan pasukannya dibuli di setiap aspek di atas padang.

Manchester City melakukan 21 percubaan ke arah gawang mereka. Sementara Southampton cuma 5 kali dengan tiada satu pun percubaan tepat yang mereka lakukan sepanjang aksi 90 minit.

Manchester City memintas Arsenal di kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris sebelum skuad Mikel Arteta turun beraksi melayan kunjungan Liverpool di Emirates pada aksi hari ini.