Masalah demi masalah melanda Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) apabila kini mereka kehilangan khidmat bekas ketua pasukan, Badhri Radzi selain ketua jurulatih, Marko Kraljevic turut dikhabarkan semakin hampir untuk meninggalkan pasukan itu.

Ekoran pembatalan perjanjian kerjasama dengan Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd, KAFA mengambil keputusan untuk mengkaji semula kontrak jurulatih dan beberapa pemain yang ditandatangani dengan jaminan pembayaran gaji oleh MyInspiration Sdn Bhd.

Sejurus selepas KAFA mengumumkan pelan mereka untuk mengawal kewangan persatuan, Piya kemudiannya tampil dan menyatakan bahawa beliau sudah menghantar surat permohonan kepada persatuan untuk dilepaskan. Menurut Piya, kegagalan kerjasama antara KAFA dan KRW Sdn Bhd merupakan faktor utama mengapa beliau meminta pelepasan.

“Semuanya sudah menjadi bubur. Saya menerima tawaran daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KRW, Fazli Mohammad dan Orrisa Baharom, untuk kembali membantu Kelantan mengharungi Liga Malaysia musim ini.

“Malangnya, apabila konflik melanda hubungan KRW dan KAFA, semua yang dirancang tidak berjalan dengan sempurna.

“Sebelum apa-apa berlaku, lebih baik saya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dengan menghantar surat rasmi kepada KAFA,” katanya menurut laporan Stadium Astro.

Dengan segala kemelut dan juga masalah yang sedang melanda KAFA ketika ini, timbul persoalan sama ada pemenang Liga Super dan Piala Malaysia musim 2012 ini mampu untuk menamatkan saingan Liga Malaysia musim ini.

Persoalan ini timbul selepas Perlis Northern Lions disingkirkan dari saingan Liga Perdana kerana menghadapi masalah kewangan yang serius dan dianggap tidak mampu untuk bertahan sehingga ke penghujung musim.