Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Brad Maloney mengambil keputusan untuk tidak menyenaraikan pemain senior bagi menghadapi saingan bola sepak Sukan SEA 2021 yang bakal berlangsung di Hanoi bulan depan.

Ini kerana peraturan dalam acara bola sepak lelaki Sukan SEA membenarkan setiap pasukan menyenaraikan 2 pemain yang melebihi umur 23 tahun memperkuatkan posisi pertahanan atau serangan.

Menurut laporan daripada New Straits Times, dua pemain lebih umur tidak akan disenaraikan dalam skuad Malaysia kerana Maloney mahu menjadikan acara Sukan SEA sebagai medan untuk mempersiapkan pasukannya menghadapi Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun nanti.

“Walaupun setiap pasukan dibenarkan mendaftar dua pemain lebih umur, kami tidak akan mengambil pilihan itu. Saya mahu menyediakan pemain untuk saingan Piala Asia B-23.” katanya.

Dalam acara bola sepak lelaki Sukan SEA, Malaysia diundi bersama pemenang pingat emas sebanyak 16 kali iaitu Thailand, Kemboja, Singapura dan juga Laos.

Undian tersebut dilihat seimbang dan pasukan negara dilihat mempunyai peluang cerah untuk mara ke peringkat separuh akhir sekaligus cuba untuk memenangi pingat pada edisi kali ini.

Selain itu, Maloney berharap dapat mengumpulkan beberapa tonggak utama untuk membuat persiapan lebih awal bagi menghadapi dua pertandingan penting itu.

“Kalau kita boleh dapatkan pemain utama, kita boleh dapat keputusan yang baik dalam Sukan SEA. Bagaimanapun, untuk memastikan ia terjadi, kami memerlukan kerjasama daripada pasukan Liga Malaysia. Perbincangan dengan kelab sangat positif.

“Saya fikir untuk dapatkan seberapa banyak pemain utama sangat penting menjelang saingan Piala Asia B-23,” tambahnya.

Kali terakhir skuad kebangsaan berjaya memenangi pingat dalam acara bola sepak temasya Sukan Sea ialah pada edisi 2017 yang mana ketika itu Malaysia merupakan tuan rumah.

Skuad Harimau Malaya mara sehingga ke perlawanan akhir namun terpaksa akur tewas kepada Thailand dengan keputusan 1-0 dan meraih pingat perak.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

Tiada Lagi Penundaan Perlawanan Jika Pemain Dan Jurulatih Disahkan Positif COVID-19

Yusri Che Lah: Ada Pemain Jual Motosikal Untuk Kelangsungan Hidup

Disahkan Kanser, Brendan Gan Beri Sokongan Kepada Louis van Gaal