Malaysia mara dengan penuh bergaya ke separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 selepas membenam cabaran Singapura 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan B yang berlangsung sebentar tadi.

Lebih manis untuk diperkatakan, ia merupakan kemenangan sulung buat skuad negara berdepan lawan seberang tambak itu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sedar hanya kemenangan akan membawa skuad negara ke pusingan seterusnya, anak buah Kim Pan-gon bermula garang sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan pengadil dari Arab Saudi, Mohammed Khaled Al Hoaish.

Peluang pertama skuad negara hadir seawal minit kesembilan apabila hantaran cantik Safawi Rasid kepada Faisal Abdul Halim dalam kawasan kawasan penalti cuba dikeluarkan Hassan Sunny.

Kegagalan Hassan mengeluarkan bola daripada kawasan berbahaya telah memberikan ruang kepada V. Ruventhiren tetapi penjaga gol veteran itu bertindak cemerlang menghalang rembatan pemain bek kiri tersebut.

Penyokong negara hampir melonjak kegembiraan pada minit ke-16 apabila tandukan Faisal Halim ketika situasi sepakan penjuru diambil Safawi Rasid hanya sedikit melewati palang gol.

Seminit kemudian, Hassan Sunny cemerlang dalam menafikan rembatan jarak dekat dilakukan Faisal Halim susulan serangan balas pantas dimulakan Brendan Gan.

Singapura yang sesekali menguji gawang skuad Malaysia mendapat peluang pada minit ke-27 tetapi rembatan Son Ui Yong ke dalam kawasan penalti gagal mencari rakan sepasukannya.

Jaringan yang dinantikan jutaan penyokong setia negara menjelma pada minit ke-35 apabila Darren Lok menanduk masuk bola hasil hantaran lintang berkualiti dilakukan Safawi Rasid untuk meletakkan Malaysia di hadapan.

Skuad negara tampil dengan lebih meyakinkan pada babak kedua dan usaha mereka berjaya melebarkan kedudukan menerusi ledakan daripada luar kawasan penalti oleh pemain tengah Stuart Wilkin.

Bagaikan mendapat tonik berguna susulan jaringan tersebut, Wilkin menambah gol kedua peribadinya berselang empat minit kemudian.

Berpunca daripada kesilapan barisan pertahanan lawan sekali gus memberikan ruang buat Safawi mengawal bola dalam kawasan penalti, beliau kemudiannya melakukan lorongan buat Wilkin yang tidak mensia-siakan peluang untuk meledakkan rembatan kaki kiri bagi menjadikan kedudukan 3-0.

Ketika masa sebenar hanya berbaki lima minit untuk ditamatkan, Faris Ramli berjaya mengurangkan defisit jaringan tetapi Sergio Aguero mematikan api perjuangan Singapura menerusi jaringan ‘placing’ cantik hanya mampu dipandang Hassan pada minit ke-88.

Dengan kemenangan Vietnam ke atas Myanmar di Hanoi, ini bermakna Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua untuk menempah pertemuan dengan Thailand pada aksi separuh akhir. Manakala, Vietnam pula akan bertemu Indonesia.