Malaysia cemerlang melakar kemenangan kedua dalam kempen Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 selepas dengan penuh bergaya menundukkan Laos 5-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Masih segar dengan kemenangan penting bertemu Myanmar tempoh hari, Kim Pan-gon kelihatan melakukan perubahan besar pada aksi kedua ini dengan hanya mengekalkan Mohamad Faisal Abdul Halim, Muhammad Safawi Rasid dan Shahrul Nazeem Zulpakar di kesebelasan utama.

Beraksi di hadapan 29,961 penyokong setia, skuad negara mendominasi sebahagian permainan sebaik sahaja aksi dimulakan pengadil dari Arab Saudi, Majeed Mohammed Alshamrani.

Faisal Halim hampir meletakkan Malaysia dihadapan seawal minit keenam tetapi rembatan dalam kawasan penalti susulan gerakan lincah dengan melepasi kawalan tiga pemain pertahanan Laos meliar.

Memasuki minit ke-23, giliran Safawi Rasid pula menguji gawang lawan tetapi rembatan kaki kiri daripada luar kawasan penalti dilakukannya mudah ditangkap kemas penjaga gol, Keo-Oudone Souvannasangso.

Jaringan yang dinantikan para penyokong skuad negara akhirnya menjelma pada minit ke-29 apabila Sergio Aguero menolak masuk bola hasil hantaran lintang oleh pemain sayap, Mohd Nor Hakim Hassan.

Ia merupakan jaringan sulung buat Aguero selepas membuat empat penampilan bersama skuad negara.

Pemain naturalisasi negara itu hampir menambah jaringan kedua ketika permainan memasuki minit ke-36 tetapi kuisan lambungnya selepas menerima umpanan baik daripada David Rowley sekadar melewati palang gol.

Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Souvannasangso kemudiannya bertindak cemerlang dalam menggagalkan usaha skuad negara pada lewat babak pertama setelah beliau menepis keluar sepakan percuma Mukhairi Ajmal Mahadi serta pantas menyelamatkan hantaran Safawi Rasid yang membias terkena pertahanan Laos lalu menuju ke gawangnya.

Ketika kedua-dua pasukan dilihat mencari rentak selepas aksi babak kedua bersambung, Faisal Halim menggamatkan stadium dengan jaringan kedua menerusi tandukan pada minit ke-65.

Jaringan itu jelas tidak mencukupi buat pemain lincah tersebut apabila beliau sekali lagi menanduk masuk bola selepas menerima hantaran menarik Nor Hakim berselang tiga minit kemudian.

Bagaikan mendapat tonik berguna susulan dua gol pantas itu, skuad negara terus bernafsu untuk merobek gawang lawan dengan beberapa siri serangan berbahaya dilancarkan.

Lee Tuck hampir mengukuhkan kedudukan tetapi jaringannya pada minit ke-73 dibatalkan kerana beliau didakwa menggunakan tangan untuk menguis bola masuk ke dalam gawang Laos.

Serangan berterusan skuad negara jelas tidak mampu dihalang oleh Souvannasangso selepas pemain yang melakukan debut antarabangsa pada perlawanan ini iaitu Muhammad Haqimi Azim Rosli meledakkan voli cantik untuk gol keempat skuad negara pada minit ke-77.

Tidak cukup dengan itu, Stuart Wilkin pula meletakkan nama selaku penjaring gol pada minit ke-87 yang menyaksikan rembatannya daripada luar kawasan penalti tidak mampu diselamatkan Souvannasangso untuk mengesahkan kemenangan 5-0 buat skuad negara.