Pemain sayap negara, Faisal Halim teruja dapat menjaringkan gol ketika perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia menentang Hong Kong yang berlangsung di Stadiu Sultan Ibrahim baru-baru ini.

Faisal atau yang lebih mesra disapa Mickey belum menjaringkan sebarang gol pada 2023 sebelum aksi menentang Hong Kong dan beliau berada dalam tekanan untuk mengakhiri kemarau jaringan.

Penantian Faisal untuk menjaringkan gol pertama akhirnya berakhir dimana beliau bijak mengelirukan pertahanan lawan sekaligus menjaringkan gol kedua Malaysia pada perlawanan semalam.

“Saya bersyukur dan berterima kepada isteri dan keluarga saya dan juga tidak lupa kepada peminat yang DM saya memberi kata-kata semangat dan mendoakan kejayaan saya. Rakan sepasukan juga memberikan kata-kata semangat sebelum perlawanan termasuk Akhyar Rashid yang berkata saya pasti akan menjaringkan gol pada malam ini. jadi saya berterima kasih kepada rakan-rakan dan ketua jurulatih Kim Pan-gon,” kata Faisal Halim.

Dua kemenangan ke atas Turkmenistan dan Hong Kong bukan sahaja memastikan pasukan negara berada dalam prestasi terbaik tetapi skuad Harimau Malaya berjaya memperbaiki kedudukan dalam ranking FIFA dimana ketika ini Malaysia melonjak ke tangga ke-138.

Kini para pemain sudah kembali ke pangkuan kelab masing-masing untuk meneruskan saingan Liga Malaysia yang berhenti seketika selama dua minggu bagi memberi laluan kepada pasukan kebangsaan beraksi di jendela FIFA. Kim Pan-gon akan memanggil pemain bagi menyertai kem latihan pusat pada jendela FIFA yang seterusnya.