Skuad Bawah 18 tahun negara menyasarkan kemenangan kedua dalam saingan AFF B-18 tahun apabila dijadualkan bertemu pasukan Kemboja di Stadium Thanh Long, hari ini.

Setelah berjaya mencatat kemenangan pertama ketika bertemu pasukan Singapura pada Jumaat lalu, pengendali pasukan, Brad Maloney menegaskan tiga mata yang diraih nyata meningkatkan lagi keyakinan di kalangan pemain setelah tewas pada perlawanan pertama menentang pasukan tuan rumah, Vietnam.

Namun, pemain negara perlu berhati-hati kerana Kemboja dilihat mempunyai kekuatan yang tersendiri dimana mereka berjaya menewaskan pasukan pilihan juara, Thailand dengan keputusan 4-3. Brad turut mengakui kualiti yang dimiliki oleh pemain Angkor Warriors tidak boleh dipandang remeh.

brad-maloney
Sumber Gambar: Stadium Astro

Maloney berkata: Apa yang saya lihat, Kemboja adalah sebuah pasukan yang cukup bagus dan memiliki pemain berkualiti.

“Sudah pasti dengan semua itu, perlawanan akan jadi lebih sengit,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Luqman Hakim Shamsudin
Aksi Luqman Hakim ketika Malaysia menewaskan Singapura.

Pada perlawanan menentang Singapura, anak kepada bekas ketua pasukan skuad kebangsaan, Muhamad Kaironnisam Sahabudin iaitu Firdaus Kaironnisam muncul sebagai wira apabila menjaringkan dua gol manakala rakan sepasukan, Luqman Hakim Shamsudin turut menyumbangkan jaringan dalam kemenangan 3-1 pasukan negara.

Pada masa yang sama, Maloney menjelaskan suasana dalam kem negara ketika ini berada dalam suasana yang baik dan keyakinan pemain turut bertambah berbanding sebelum ini.

Pada dua perlawanan terakhir, Malaysia akan berdepan pasukan Thailand dan Australia.