Gandingan Pearly Tan-M. Thinaah melangkah ke suku akhir Kejohanan Malaysia Masters 2023 selepas menundukkan Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto dari Jepun pada aksi pusingan 16, sebentar tadi.

Ia merupakan pertemuan sulung melibatkan Pearly-Thinaah dan pasangan beregu wanita ranking ke-21 dunia itu.

Merupakan semi finalis edisi lalu, Pearly dan Thinaah mengambil kesempatan atas sokongan padu diberikan para peminat badminton tanah air untuk menang dalam tempoh masa satu jam 29 minit.

Aksi saling kejar-mengejar mata ditampilkan kedua-dua pasangan pada peringkat awal sehingga menyaksikan kedudukan terikat 14-14.

Namun, gandingan nombor satu negara itu memperkemaskan aksi sekali gus tidak memberikan banyak ruang buat lawan untuk bangkit bagi kemenangan 21-17 pada set pertama.

Skrip hampir serupa pada set kedua dimana Miyaura-Sakuramoto tidak memberikan laluan mudah buat pasangan negara itu sehingga mereka berjaya mencatatkan kemenangan 21-18 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Aksi yang cukup sengit juga ditampilkan pada set ketiga sehingga pada satu ketika terdapat rali panjang yang menyaksikan 211 pukulan dilakukan.

Tetapi, anak buah Rexy Mainaky dan Hoon Tien How itu berjaya menyerap tekanan untuk mengesahkan kemenangan 21-

Menanti mereka di suku akhir esok ialah bekas gandingan ranking nombor satu dunia, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota yang menewaskan pasangan Korea Selatan, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan 21-16, 21-9.

Berdasarkan rekod pada lima pertemuan terakhir sebelum ini melibatkan kedua-dua pasangan, Pearly-Thinaah mencatatkan dua kemenangan ke atas lawan dari Jepun itu.