Pasangan semakin meningkat naik, Tee Kai Wun-Man Wei Chong mencipta sensasi dalam Malaysia Masters 2023 apabila mara ke final acara beregu lelaki pada kejohanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu.

Kemenangan ‘straight set’ ke atas pasangan ranking kesembilan dunia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dengan keputusan 21-17, 22-20 dalam tempoh 46 minit itu sekali gus menghadiahkan aksi final pertama buat Kai Wun-Wei Chong pada tahun ini.

Malah, ia turut menebus kehampaan senior mereka, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tewas bertemu lawan dari Indonesia itu semalam.

Sinar harapan jelas kelihatan ketika permulaan set pertama apabila gandingan yang kini berada di ranking ke-26 dunia itu mendahului 11-7.

Permainan kemudiannya memperlihatkan juara Indonesia dan Thailand Masters 2023 itu cuba bangkit merapatkan jurang mata tetapi Kai Wun dan Wei Chong meneruskan corak agresif bagi memenangi set pertama 21-17.

Aksi lebih sengit ditampilkan pada set kedua dengan jurang mata yang cukup rapat dapat disaksikan dengan hanya kelebihan 11-10 dimiliki pasangan negara ketika rehat ‘interval’.

Keadaan genting itu berterusan sehingga menyaksikan Kai Wun-Wei Chong mengesahkan kemenangan dengan keputusan tipis 22-20.

Menanti mereka di final esok ialah pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae yang menewaskan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Ini bermakna dua wakil negara akan beraksi di
pentas final selepas Pearly Tan-M.Thinaah terlebih dahulu mengesahkan kemaraan.