Perjalanan pasangan beregu lelaki nombor satu dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dalam Kejohanan Malaysia Masters 2023 terhenti seawal pusingan pertama selepas mereka tunduk di tangan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.

Gandingan dari Korea Selatan yang berada di ranking ke-13 dunia itu dilihat tidak langsung menghiraukan reputasi lawan mereka untuk mempamerkan aksi bertenaga sejak awal permainan.

Ia jelas dibuktikan apabila mereka tenang menyerap tekanan dan mengawal permainan dengan baik bagi meraih kemenangan set pertama 21-16.

Tekanan hebat pada set kedua dijelmakan oleh pasangan Indonesia itu dengan aksi saling kejar-mengejar mata ditampilkan.

Malah, Fajar-Rian hampir mengheret perlawanan ke set penentuan dengan mengikat kembali kedudukan pada mata 19-19.

Bagaimanapun, kesilapan sendiri yang dilakukan memberikan ruang sepenuhnya buat Min Hyuk-Seung Jae untuk mengesahkan kemenangan 21-19 dalam aksi yang berlangsung selama 39 minit.

Kemenangan berharga yang diraih itu juga menamatkan rentetan dua kemenangan berturut-turut Fajar Alfian-Rian Ardianto terhadap lawan tersebut pada tiga aksi terakhir.

Kali terakhir kedua-dua pasangan tersebut bertemu adalah pada pusingan pertama Kejohanan All England 2023.

Min Hyuk-Seung Jae akan berhadapan dengan Akira Koga-Taichi Saito pada aksi pusingan 16 yang dijadualkan berlangsung pada Khamis nanti.

Pasangan dari Jepun itu mara ke pusingan seterusnya selepas berjaya menundukkan lawan dari Chinese Taipei, Su Ching Weng-Yi Hong Wei menerusi aksi yang berlanjutan hingga ke ‘rubber set’ dengan kemenangan 18-21, 21-18, 21-14.