Pasangan muda negara, Tee Kai Wun-Man Wei Chong mencipta kejutan apabila menewaskan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Malaysia Masters 2023 yang berlangsung sebentar tadi.

Berdepan lawan berpengalaman yang dikenali dengan panggilan ‘The Daddies’ itu jelas memperlihatkan keazaman tinggi dipamerkan oleh Kai Wun-Wei Chong.

Mereka jelas tidak memberikan laluan mudah buat Ahsan-Setiawan dengan aksi bertenaga dengan aksi saling kejar-mengejar mata.

Kecemerlangan itu dijelmakan kepada keputusan positif hingga mereka berjaya meraih kemenangan pada set pertama dengan keputusan 23-21.

Skrip yang sama berulang pada set kedua apabila jurang mata rapat dapat disaksikan selepas rehat ‘interval’.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain berusia 23 tahun itu kental menghadapi asakan hebat Ahsan dan Setiawan untuk memastikan kemaraan ke separuh akhir dengan kemenangan 21-17 dalam tempoh masa 38 minit.

Kejayaan manis penuh debaran itu merupakan kemenangan sulung buat Tee Kai Wun-Man Wei Chong ke atas pasangan ranking keenam dunia itu yang baharu bertemu dua kali setakat ini.

Malah, ia juga merupakan sejarah buat pertama kali pasangan muda tersebut lolos ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan bertaraf Super 500 bagi kejohanan anjuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menanti mereka di separuh akhir ialah pemenang antara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin yang akan beraksi pada perlawanan terakhir di gelanggang satu.