Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Skuad muda negara melunaskan dendam kekalahan bertemu Laos di peringkat kumpulan apabila mencatatkan kemenangan 2-0 berdepan lawan sama sekali gus muncul juara Kejuaraan AFF Bawah 19 Tahun (B-19) 2022 pada aksi final yang berlangsung di Stadio Patriot Chandrabhaga, sebentar tadi.

Kejayaan manis yang pastinya turut mengukirkan senyuman buat para penyokong bola sepak tanah air itu mengulangi kejayaan skuad bimbingan Bojan Hodak pada edisi 2018.

Kemenangan itu bagaimanapun tidaklah hadir dengan mudah dimana Laos yang mara ke perlawanan akhir buat pertama kali beberapa kali memiliki peluang keemasan untuk merobek gawang skuad negara yang dikawal Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri.

Bagaimanapun, penjaga gol berusia 19 tahun itu bersama-sama jentera pertahanan negara cukup kental bertahan untuk melakarkan kejayaan berharga tersebut.

Laos bermula dengan cukup baik apabila Anantaza Siphongphan melakukan tandukan lambung ke arah gawang seawal minit keempat tetapi Syahmi lebih tangkas untuk menolak keluar bola untuk menyelamatkan gawangnya.

Aliff Izwan mencipta satu bantuan jaringan dan menjaringkan gol kedua. Kredit Foto: FAM

Malaysia yang kemudiannya lebih mempamerkan aksi tersusun tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila sepakan percuma dilakukan Muhammad Aliff Izwan Yuslan dikuis dengan baik pemain pertahanan, Muhammad Faiz Amer Runnizar pada minit ke-14.

Meskipun beraksi di permukaan padang yang kurang baik ekoran hujan sebelum perlawanan tidak langsung menjejaskan rentak kedua-dua pasukan untuk mempamerkan corak permainan pantas.

Bagaimanapun, usaha mereka untuk mengubah kedudukan dinafikan ketumpulan penyudah dan ketangkasan penjaga gol masing-masing.

Aliff Izwan mengukuhkan kedudukan pada minit ke-76 apabila beliau yang melepasi kawalan pertahanan lawan tidak berdepan masalah untuk menolak masuk bola hasil hantaran dilakukan Muhammad Alif Farhan Fauzi

Walaupun pasukan lawan tidak berputus-asa untuk merapatkan defisit jaringan, anak buah Hassan Sazali Waras kental bertahan untuk memastikan trofi Kejuaraan AFF B-19 sekali lagi menjadi milik negara.

Kejayaan menjulang trofi tersebut diserikan lagi dengan pemilihan ketua pasukan, Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri sebagai pemain terbaik kejohanan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

AFF B-19 2022: Disiplin Tinggi Pemain Gembirakan Hassan Sazali

Eden Hazard Untuk Dijual

Ejen Minta Manchester United Berhenti Ganggu De Jong