Skuad Malaysia Bawah 22 Tahun (B-22) berjaya layak secara merit ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan tahun depan apabila terikat tanpa jaringan dengan pencabar terdekat, Thailand di Ulaanbaatar, Mongolia.

Keputusan itu menyaksikan pasukan kendalian Brad Maloney mengekalkan rekod tanpa kalah dan juga tanpa bolos dalam 3 perlawanan yang diharungi sekaligus dinobatkan sebagai juara kumpulan J dengan 7 mata.

Ini adalah kali kedua pasukan negara beraksi dalam saingan itu selepas edisi 2018 di China ketika dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee. Ketika itu, Malaysia mempunyai pencapaian yang cukup cemerlang apabila layak ke suku akhir sebelum tewas tipis 1-2 kepada Korea Selatan.

Pada aksi menentang Thailand, skuad negara mempamerkan disiplin yang tinggi dan barisan pertahanan berjaya menghalang lawan daripada memasuki kawasan kotak penalti. Situasi itu menyebabkan tiada langsung percubaan berbahaya dapat dilakukan oleh Thailand sepanjang separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Thailand bangkit dengan lebih garang dan mempunyai beberapa peluang terhidang untuk menjaringkan gol pembukaan namun mereka dikecewakan dengan masalah ketumpulan penyudah di bahagian serangan.

Walaupun barisan penyerang lawan terus mengandakan asakan, namun pemain pertahanan negara tetap bermain dengan tenang sehingga perlawanan berakhir dengan keputusan 0-0. Malaysia juga mempunyai peluang terbaik menerusi tandukan Harith Haiqal pada minit ke-62 namun ia sekadar menggegar palang.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Bawah 23 tahun negara melalui pautan dibawah. 

Kelayakan Piala Asia B-23: Azfar Terus Jadi Wira Negara Raih Tiga Mata

Kelayakan Piala Asia B-23: Malaysia Lepasi Cabaran Laos