Malaysia mempamerkan persembahan cemerlang untuk melayakkan diri ke separuh akhir saingan Piala Dunia Futsal Orang Pekak Bawah 21 Tahun (B-21) 2022 selepas mudah membelasah Thailand 8-2 pada aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam semalam.

Kemenangan bergaya yang dicatatkan oleh anak buah Ali Che Ahmad itu menyaksikan skuad negara akan berhadapan dengan wakil daripada Eropah, Kazakhstan pada Rabu ini.

Malaysia yang mencatatkan dua kemenangan [bertemu Arab Saudi dan Azerbaijan] serta tewas kepada Iran di peringkat kumpulan nyata tidak mampu ditandingi oleh Thailand susulan aksi bertenaga ditampilkan para pemain.

Ia jelas dibuktikan apabila mereka mendahului 3-0 pada babak pertama dan kemudiannya menambah empat lagi jaringan sebelum Thailand membalas dengan dua gol pada lewat permainan.

Enggan melihat pasukan jiran tetangga itu terus memberikan tekanan, skuad negara menambah gol kelapan untuk mengesahkan kemenangan 8-2 tersebut.

Satu lagi aksi separuh akhir bakal menemukan Iran dan Uzbekistan. Kedua-dua pasukan berpesta jaringan di suku akhir selepas Iran menundukkan China 14-1 manakala Uzbekistan pula melakar kemenangan 11-1 ke atas Arab Saudi.

Piala Dunia Futsal Orang Pekak B-21 merupakan kejohanan yang julung kali diadakan dimana Persatuan Bola Sepak Orang Pekak Antarabangsa (DIFA) telah memberikan pengiktirafan buat Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) untuk menjadi tuan rumah.

Sebanyak lapan pasukan telah menyertai kejohanan ini membabitkan Malaysia, Iran, Thailand, Arab Saudi, Kazakhstan, Azerbaijan, China dan Arab Saudi.

Berikut merupakan senarai lengkap barisan pengurusan, kejurulatihan dan pemain skuad negara dalam kejohanan ini:

Pengurus: Choo Mei Lin

Ketua Jurulatih: Ali Che Ahmad

Penolong Jurulatih: Mohd Fakhrur Ismail

Penolong Jurulatih: Mak Chee Weng

Jurulatih Penjaga Gol: Muhammad Sulaiman

Fisioterapi: Muhammad Izuan Ramli

Pemain:

1) Muhammad Ameerul Eizlan Erwan

2) Muhammad Kamarul Irfan Kamaruzaman

3) Qayyum Idlan Shah Reuaz

4) Muhammad Zumar Azman

5) Muhammad Amar Senin

6) Aminul Waei Khalil

7) Muhammad Zumir Azman

8) Hao Ching Hao

9) Muhammad Najib Najmuddin

10) Edward Liew Tze Kiong

11) Mohammad Haikal Mohammad

12) Muhammad Akeem Mikail Abdul

13) Mohamad Nizal Hairee Mohamah Badrisah

14) Louis Luo Wei Lim